Perdana Menteri kerajaan darurat Muhyiddin Yassin didesak segera mengadakan sidang Parlimen selepas seminggu Yang di-Pertuan Agong menitahkan sidang perlu dilaksanakan pada masa yang sesuai.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Agong telah mendengar rayuan majoriti Ahli-ahli Parlimen dan rakyat maka PM perlulah segera melaksanakan titah berkenaan.
“Minggu lalu kita dimaklumkan kenyataan Istana Negara di mana Yang di-Pertuan Agong perkenan untuk Parlimen bersidang walaupun negara masih dalam darurat
“Ini bercanggah dengan usul PM dan kabinet sebelumnya bahawa Parlimen tidak boleh bersidang atau digantung
“Maknanya Agong setelah mendengar pandangan 115 Ahli Parlimen yang memohon ehsan kebijaksanaan baginda dan tuntutan pelbagai rakyat dalam melihat usaha-usaha memerangi Covid 19, derita rakyat, penganguran dan sebagainya sehingga membawa kepada perlunya sidang Parimen,” katanya dalam siaran media pagi tadi.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, sikap membisu Muhyiddin menghadapi titah Agong itu sebaliknya menunjukkan beliau tidak punya rasa hormat kepada institusi Diraja.
Anwar juga mempersoalkan, apakah yang ditakutkan oleh Muhyiddin untuk memanggil sidang Parlimen jika yakin kerajaannya mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.
“Seminggu berlalu dan PM masih membisu. Mengapa tidak ada kenyataan PM untuk hormat titah Tuanku Agong. Selama ini mereka hebahkan kepada rakyat (bahawa) Agong perkenan (gantung Parlimen) dan oleh yang demikian jangan persoalkan
“Saya nak tanya PM, Agong telah perkenan (sidang Parlimen), maknanya (baginda) merasakan perlu diadakan sidang Parlimen. Jika tidak mengapa diangkat hal ini yang dianggap sudah ditutup?
“Tenyata kerajaan Perikatan Nasional dan PM tidak mempunyai keyakinan,” katanya lagi