Kerajaan darurat Perikatan Nasional (PN) didesak mengotakan janji menggubal Akta Sewaan Kediaman atau Residential Tenancy Act (RTA) bagi melindungi para penyewa rumah daripada kenaikan sewa atau pengusiran yang tidak munasabah.
Menurut Jurucakap Parlimen KEADILAN bagi Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Infrastruktur, Chang Lih Kang, kerajaan PN boleh menggubal RTA menggunakan Ordinan Darurat sebagaimana beberapa akta sebelum ini sekiranya mereka prihatin dengan nasib golongan penyewa dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi ekoran pandemik Covid 19.
“Negara kita sedang menghadapi pandemik Covid-19 yang turut menjejaskan ekonomi rakyat secara ketara. Keadaan ini telah berterusan lebih daripada 1 tahun dan belum nampak kesudahan. Rakyat merana akibat kehilangan kerja dan pengurangan pendapatan, ada yang di kalangan mereka terpaksa menjadi gelandangan kerana tidak mampu membayar sewa rumah.
“Dalam hal ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) harus membela nasib rakyat marhaen yang kehilangan rumah kediaman. Apatah lagi kementerian tersebut telah berjanji untuk menggubal Akta Sewaan Kediaman yang mengawal atur sewaan rumah kediaman pada tahun ini,” kata Chang dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Tanjong Malim itu lagi, RTA bukanlah tuntutan yang tidak mempunyai asas, malah akta itu telah dijanjikan oleh Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib untuk digubal pada sesi Parlimen lalu.
Kata Lih Kang, janji berkenaan boleh dirujuk dalam penyata rasmi (hansard) Parlimen bertarikh 25 Ogos 2020 yang mana Timbalan Menteri KPKT berkata akan membentangkan RTA pada tahun ini.
“Saya menuntut KPKT kotakan janji ini dengan kadar segera, agar nasib rakyat kebanyakan dapat dibela.
“Perkara ini adalah sesuatu yang serius dan berkait rapat dengan nasib rakyat marhaen. Selagi akta ini tidak digubal, semakin ramai rakyat akan dimangsakan dan terus sensara,” katanya.
Sehubungan itu, Lih kang mengulangi desakan agar Ordinan Darurat digunakan untuk meluluskan RTA.
“Kalau Perikatan Nasional boleh menggunakan Ordinan Darurat untuk membenarkan Perdana Menteri guna wang Rakyat tanpa melalui legislatif, tiada sebab kenapa perundangan yang melindungi rakyat biasa tidak boleh disegerakan,” katanya lagi.