Perjuangan anak muda Malaysia akan lebih bersemarak apabila warganegara berumur 18 dibenarkan mengundi mulai 15 Disember tahun ini.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, Undi 18 merupakan satu pengiktirafan besar kepada perjuangan berterusan generasi muda menuntut suara mereka didengari sejak berdekad dekad lalu.
“Dalam tempoh hampir setengah abad, banyak kejayaan telah dicapai oleh pergerakan anak-anak muda Malaysia yang dipelopori oleh para pelajar universiti.
“Antara yang nyata ialah mulai 15 Disember tahun 2021 ini, anak-anak muda yang berumur 18 tahun dan ke atas secara otomatik sudah boleh mengundi di dalam pilihan raya dan juga boleh bertanding sebagai calon Ahli Parlimen ataupun Ahli Dewan Undangan Negeri.
“Peranan anak-anak muda sangat terserlah semasa tempoh hampir dua tahun negara mengharungi Pandemik Covid-19 di mana berlaku tiga kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ketika sebahagian rakyat miskin dari golongan B40 keputusan bekalan makanan di ambang kebuluran, anak-anak muda ini muncul dengan inisiatif, “Kibarkan Bendera Putih” di seluruh negara,” katanya.
Menurut Hassan lagi, anak muda yang ditekan oleh kerajaan ‘tebuk atap’ Perikatan Nasional ketika itu tidak tinggal diam, sebaliknya terus menuntut demokrasi yang meluas, melakukan tunjuk perasaan ‘bendera hitam’ membantah darurat berterusan dan mendesak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.
“Begitu juga untuk menarik perhatian akan suasana cemas tentang kegagalan kerajaan menangani jumlah kematian angkara Covid-19 yang meningkat setiap hari, maka anak-anak muda tanpa rasa takut ditangkap atau dipenjara telah turun ke jalan-jalan raya mengisytiharkan gerakan “Kibarkan bendera hitam” di seluruh negara.
“Perjuangan para pelajar universiti dan anak-anak muda Malaysia tidak pernah berhenti. Mereka sentiasa dapat mengesan denyut nadi kehidupan rakyat jelata.
“Kini anak-anak muda dan para pelajar universiti tampil sekali lagi ke hadapan menyuarakan keresahan dan kebimbangan rakyat yang sedang menghadapi krisis harga barangan makanan seperti ayam, telur, sayur-sayuran dan roti yang naik melambung tinggi,” katanya lagi.
Tambah Hassan, semangat melawan anak anak muda sejak generasi Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin demonstrasi Baling kira kira 47 tahun lalu terus bersemarak digerakkan oleh anak-anak muda di kampus universiti hari ini.
Katanya, sejarah perjuangan adil dan berani para mahasiswa universiti hampir setengah abad lalu perlu diperkasakan sehingga kerajaan yang lebih baik dapat dibentuk dan mengembalikan kemakmuran Malaysia.