Pertindihan kerusi sebagaimana Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak antara DAP dan KEADILAN pada 2016 berjaya dielakkan kali ini.
Menurut Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terdapat persefahaman yang jitu antara komponen PH dan oleh kerana itu KEADILAN tidak bertanding banyak kerusi dalam PRN ini.
“Kita (bertanding) tak banyak sebab kita dah ada persefahaman dengan DAP dan Amanah. Dalam beberapa kerusi mungkin dengan PSB tetapi tidak ada penyelesaian. Yang penting PH.
“Saya fikir lebih baik tunggu di kawasan kawasan ini, dan beri peluang kepada rakan rakan lain untuk bersama,” kata Anwar ditanya wartawan ketika melawat persiapan jentera pilihan raya KEADILAN di Pekan Song, Kapit, tengah hari tadi.
Mengenai jentera, beliau berpuas hati dengan persiapan yang telah dilakukan dan berharap jentera kempen tempatan akan bersungguh sungguh memberi penerangan.
“Saya libat macam di Song ini agak jauh di pendalaman dan sambutan baik. Jentera baik di peringkat kawasan dan kita harap mereka dapat bekerja kuat menyampaikan maklumat kepada rakyat,” katanya.
Mengulas beberapa pertikaian dengan DAP Sarawak menurut Anwar hal itu dapat diselesaikan dengan baik secara perbincangan
“Ini tak ada masalah bagi tokoh tokoh kecil nak bersuara. Tetapi bagi kita yang pentingnya pimpinan KEADILAN dan DAP percaya kerjasama harus mantap, dan kita elak pertindihan kerusi,” katanya lagi.