Ketiadaan pekerjaan di Terengganu bagi anak muda menyalahi janji manifesto pilihan raya Pas untuk mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan.
Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang akan diadakan sama ada tahun ini atau 2023, Pas diramal akan berdepan jalan berliku untuk mengekalkan kuasa di negeri itu.
Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, ketiadaan kemajuan yang ketara dalam pentadbiran parti Islam itu, terutama peluang kerja, akan menyebabkan anak muda beralih sokongan.
“Saya rasa sampai tahap sekarang ini, golongan muda di Terengganu dapat melihat dengan jelas ketidakmampuan Pas memberi jaminan kepada hidup mereka di masa hadapan. Itu sudah jelas,” katanya kepada Suara Keadilan.
Cuma tambah Azan, kelemahan Pas itu pasti akan diambil kesempatan oleh Umno untuk menguasai semula pemerintahan negeri.
Oleh itu, katanya, anak muda terutama Undi 18 perlu berfikir panjang bahawa ketiadaan peluang pekerjaan di negeri itu bukanlah salah Pas semata mata, tetapi juga polisi pemerintahan Umno sebelumnya yang membazirkan RM1 bilion wang royalti setahun kepada perkara perkara yang tidak menjana pertumbuhan ekonomi.
“Kesempatan ini akan diambil oleh Umno untuk menawarkan diri. Tetapi perkara yang sama juga berlaku, kita lihat 4 tahun lepas pentadbiran ini diuruskan oleh Umno.
“Anak muda lingkungan umur 20an. 4 tahun lepas mereka ini remaja di bawah kepimpinan Umno. Perkara ini perlu dipertanggungjawabkan kepada Kerajaan Negeri waktu itu. Umno harus memikul dan ambil tanggungjawab. Patut dipersalahkan kerana kesalahan merancang ini terletak pada bahu mereka.
“Kerajaan bermakna kerajaan yang mengendalikan negeri Terengganu, baik zaman Pas atau sebelumnya di bawah Umno,” kata mantan Ahli Parlimen Indera Mahkota itu.
Tegas Azan, anak muda yang baru mahu memulakan kehidupan perlulah merancang masa hadapan mereka sebaik baiknya dengan bersama parti yang mempunyai perancangan membangunkan Terengganu.
Dua parti utama Melayu, katanya telah gagal. Kegagalan paling menyolok mata adalah tindakan pemimpin Kerajaan Negeri baru baru ini melakukan flag off tenaga kerja Terengganu untuk bekerja di Selangor.
Hal itu, kata Azan, tidak akan berlaku dalam 5 tahun ke hadapan sekiranya anak muda melantik kerajaan yang betul untuk mentadbir.
“Saya yakin orang muda Terengganu faham, yang sedang menganggur, yang baru nak mulakan kehidupan.
“Kerajaan Negeri tidak upaya sediakan peluang pekerjaan. Mereka terpaksa hijrah tinggal keluarga dan sebagainya, terdedah cabaran baru dan sebagainya
“Itulah implikasi yang berlaku sekarang ini dan anak muda perlu bangkit untuk menolak pemerintahan kerajaan Pas yang sangat lemah serta bercelaru sehingga nasib anak muda diperjudikan,” katanya lagi.