Kerajaan Persekutuan dinasihatkan agar melaksanakan moratorium pembalakan ke seluruh negara dalam tempoh panjang bagi mengembalikan kesuburan hutan.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata demikian dalam temubual eksklusif bersama Studio Keadilan, malam tadi.
Menurut beliau, hutan yang digondol untuk pembalakan menyebabkan berlakunya hakisan tanah ketika hujan dan berlakunya banjir. Oleh kerana itu hutan perlu disuburkan kembali.
“Malaysia terima hujan sepanjang tahun, bila kita tak cukup hutan menampung air maka berlakulah bencana (banjir).
“Kerajaan pusat kalau serius boleh kenakan moratoroium. Berhenti sementara sehingga hutan kita kembali hidup. Kita tidak boleh gondolkan bukit bukau.
“Bila hujan akan banjir, bila tak hujan kemarau. Satu lagi pokok boleh simpan air. Kita sepatutnya bersyukur kerana kita punyai segala galanya (hutan yang luas),” katanya.
Tambah beliau, untuk menumbuhkan pokok balak memerlukan puluhan tahun. Malah jenis kayu jati mungkin ratusan tahun. Oleh itu, pembukaan hutan untuk menanam Musang King, terutama di Pahang misalnya, tidak boleh dibiarkan berleluasa.
Peka juga, menurut Sabrina, mencadangkan hutan diletak di bawah Kerajaan Persekutuan yang lebih tegas dalam memantau pembalakan berbanding Kerajaan Negeri ketika ini.
“Peka dah hantar memorandum, hutan ini sepatutnya berada di bawah Persekutuan. Kalau di bawah negeri memang kita tidak akan selamatkan hutan kita. Kita akan musnahkan sumber air.
“Segala sungai yang mana ada pembalakan, sama ada untuk pembalak, pertanian atau pembangunan maka air sungai jadi kotor. Tetapi ada SOP pembalakan ini kalau kita ikut cara pembalakan betul. (Tetapi selalu diamalkan) ‘cucu mangkuk’, potong habis sampai pokok kecil pun habis. Itu yang lumpur masuk ke sungai. Kita tegok ke Telemong (Pahang) itu, kayu hanyut.
“Ada undang undang. Kalau sungai 10 meter maka lebar buffer zone 20 meter sepatutnya, tetapi mereka (pembalak) tepi sungai pun dipotong. Bila hujan lebat maka berlaku bencana alam,” katanya.
Sabrina juga memuji kecantikan hutan Malaysia yang disifatkannya tercantik di dunia. Beliau yang telah menjelajah kawasan hutan di Indonesia, Thailand, Vietnam malah ke Amazon di Brazil, dan tidak menemui hutan yang secantik di Malaysia.
“Malaysia cukup bertuah, semua ada, gunung ganang, bukit pulau. Tetapi apa yang saya nampak semenjak Peka ditubuh pada 2010, saya pergi ke merata tempat termasuk hutan Amazon, saya tidak pernah nampak hutan secantik hutan Malaysia, pelbagai bio-diversiti. Vietnam, Laos, Thailand hutan tidak secantik dimiliki Malaysia.
“Bila saya melihat kemusnahan hutan kita teruk sangat, bukan kita anti-pembangunan tetapi kalau kita sayangkan negara kita maka alam sekitar mesti dijaga,” katanya lagi.