Siasatan yang memanggil terlalu banyak peserta himpunan dan mengerahkan 1,000 anggota polis, serta menutup sementara sistem pengangkutan aliran ringan (LRT) di stesen tertentu di Kuala Lumpur Sabtu lalu menimbulkan persoalan apakah hebatnya individu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di mata pemimpin kerajaan BN.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Akmal Nasir percubaan pihak berkuasa untuk menggagalkan demonstrasi #TangkapAzamBaki menyamai halangan ke atas tunjuk perasaan menggugat Perdana Menteri, dan menyebabkan rakyat tertanya tanya sehingga kini.
“Saya secara peribadi mengecam keras intimidasi yang dilakukan terhadap anak muda yang bersuara melawan rasuah serta salahguna kuasa. Ini merupakan perjuangan anak muda bagi mempertahankan prinsip serta integriti yang dilihat saban hari semakin tercalar terutamanya melibatkan institusi yang sepatutnya mencegah rasuah.
“Saya juga ingin bertanya berapa banyak fail kes rasuah dan salahguna kuasa membabitkan pimpinan kerajaan hari ini yang dipegang oleh Azam Baki sehingga kerajaan mengerahkan lebih seribu anggota polis serta melumpuhkan hampir separuh bandaraya Kuala Lumpur hanya untuk mempertahankan beliau?” tanyanya dalam satu kenyataan.
Kata beliau lagi, difahamkan selepas perhimpunan berakhir terdapat beberapa anggota polis menahan para peserta di laluan masuk LRT Bangsar serta mengambil maklumat kad pengenalan mereka.
“Adakah peserta itu bakal dipanggil selepas ini hasil daripada pemeriksaan berkenaan, dengan tujuan untuk menakut-nakutkan anak muda yang hadir?
“Saya menggesa pihak polis berhenti melalukan intimidasi terhadap kumpulan anak muda yang telah turun ke jalan raya untuk menyatakan bantahan mereka terhadap amalan rasuah dan penyelewengan khususnya melibatkan Tan Sri Azam Baki,” katanya.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu juga kesal dengan siasatan ke atas 50 orang peserta himpunan Sabtu lalu yang tidak bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun begitu, Akmal memuji sikap berani anak anak muda yang meneruskan himpunan walaupun disekat hebat dan lokasi awal berarak dari Sogo ke Dataran Merdeka terpaksa diubah ke Stesen LRT Bangsar.