Kenaikan berterusan harga barang keperluan asasi di pasaran akan menghakis dengan teruk kuasa beli rakyat.
Pengundi bangsa Johor digesa membuat perubahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini sebelum terlambat.
Bagi Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir, tidak mustahil sedikit masa lagi menu yang ringkas dan hari hari dinikmati rakyat marhaen akan menjadi makanan ‘istimewa’ kerana harganya melambung.
“Ayam dan telur tidak boleh didapati di beberapa tempat. Malah bertambah teruk jika kerajaan Barang Naik ini tidak mampu menangani isu ini dengan segera.
“Dulu telur ayam boleh dapat RM7 – RM8 sepapan, sekarang nak sepapan dekat RM12. Ada tempat terpaksa menjual dengan lebih mahal. Macam mana perkara ini boleh berlaku?
“Abang bujang dan mahasiswi mungkin selama ini menu nasi berlauk telur dan sup kosong. Sekarang silap silap menu tersebut jadi menu kayangan,” katanya dalam siri pendedahan kenaikan harga barang di media sosial yang dijanjikan oleh beliau akan dilakukan Angkatan Muda KEADILAN sepanjang PRN kali ini.
Menurut Akmal, terdapat skim dipanggil Harga Maksimum Keluarga Malaysia. Namun, mesyuarat berjam jam, minum air mineral mahal tetapi penurunan harga yang berjaya dicapai 20 sen.
Katanya, skim itu sukar untuk berjaya kerana penternak bakal menanggung kerugian RM200 juta sebab kos menternak ayam jauh lebih tinggi daripada harga jualan.
“Kos bela ayam RM6.50, jual ayam RM5.60 sen. Saya terima maklumat penternak ada yang kata mahu gulung tikar tak mahu lagi ternak ayam.
“Macam mana bekalan ayam ini? Bila kita pertikai, sekarang baru nak bagi subsidi. Tetapi ingat kos ternak RM6.50, jual RM5.60 dan subsidi beri 60 sen. Itu tak mampu menampung margin.
“Subsidi pun sampai bulan Jun. Dengan tidak tahu hala tuju kerajaan mahu ke mana, kalau lepas ini kos naik lagi bagaimana? Jangan terkejut kalau ada menteri bagi nasihat jangan makan ayam lepas ini,” katanya lagi.
Justeru, Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia itu mempersoalkan di mana kebertanggungjawaban menteri. Katanya, tidak guna mesyuarat kalau masalah selesai hanya dipermukaan dan tidak mencari penyelesaian yang hoslistik.
“Akar masalah ini berpunca daripada kos pengeluaran yang tinggi. Tak cukup sekadar kawal harga. Bukan hanya soal harga tetapi soal bekalan.
“Tidak cukup hanya bergantung kepada bekalan ayam import, bekalan pun tak cukup. Menteri buatlah sesuatu,” katanya lagi.