Banjir besar yang berisiko berlaku dalam tempoh antara Oktober hingga November 2022 ini akan dihadapi secara penuh kesiapsiagaan oleh Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi Biro Mobilisasi PH, Mohamad sabu berkata, sukarelawan PH telah diarahkan bersedia berikutan amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang mengeluarkan ramalan tentang kemungkinan buruk berikutan hujan turun dengan lebatnya sejak beberapa hari lalu.
Hal itu, katanya, bersesuian dengan Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan semua pihak agar bersiap-siaga menghadapi risiko banjir
“Laporan media menunjukkan banyak kawasan di seluruh negara termasuk Sarawak telah mengalami tren kenaikan paras air sungai sehingga menyebabkan banjir kilat.
“Situasi ini perlu diberi perhatian oleh semua pihak. Bencana yang berpunca daripada fenomena perubahan cuaca bukan lagi satu peristiwa yang boleh kita anggap sebagai normal dan disambut seperti sebuah ‘pesta’ dan biasa-biasa sahaja.
“Apa yang berlaku pada penghujung tahun lalu patut menyedarkan kita bahawa berpuluh ribu penduduk telah menjadi mangsa dan jutaan harta telah musnah, yang mana traumanya masih dirasai sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, menurut Presiden Amanah itu lagi, sebagai langkah bersiapsiaga, Biro Mobilisasi PH akan mengerahkan seramai mungkin sukarelawan untuk membantu dan memastikan keselamatan mangsa-mangsa banjir serta harta benda mereka.
“Pihak kami juga akan mempersiapkan jentera sukarelawan di semua peringkat dengan kelengkapan mantap yang boleh dikerahkan ke kawasan berisiko tinggi.
“Untuk itu, kami sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja untuk menghulurkan kepakaran dan bantuan supaya banjir kali ini dapat dihadapi dengan kemusnahan harta benda (diharapkan) pada tahap yang amat minimum,” katanya.
Bagi mendapatkan lebih banyak sukarelawan, tegas Mohamad, PH akan mengeluarkan borang pendaftaran sukarelawan yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk mendaftar sebagai sukarelawan.