Rakyat Malaysia tidak wajar menunggu keadaan negara menjadi lebih buruk kerana pada waktu ini hutang negara telah pun mencecah RM1.6 trilion dan akan terus meningkat.
Menurut calon parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 merupakan persimpangan penting untuk rakyat bertindak memulihkan keadaan.
“Sekarang hutang (negara) RM1.63 trilion. Besar mana hutang RM1.63 trilion kalau kita bahagikan dengan jumlah penduduk Malaysia seramai 32 juta. Ertinya semua kita sedang berhutang lebih kurang RM41,700.
“Tetapi dalam masa sama ada orang berjoli dengan kekayaan negara kita. Marah ke tidak?
“Bila kita marah maka kita salurkan kemarahan kita ke kaedah yang wujud di hadapan kita. Kita semua negara demokrasi boleh buat pilihan sekali dalam 5 tahun. Kita ambil kesempatan itu bagi memastikan kita pilih wakil agar dapat bawa suara rakyat di parlimen, memperjuangkan masa depan negara.
“Kita berada di persimpangan. Nak belok kiri atau belok kanan. Kali ini mungkin ada 6 simpang (6 penjuru) dalam pilihan raya ini. Jadi perlu buat pilihan nak ambil jalan mana bagi membawa suara kita 5 tahun ke hadapan, agar nasib kita dan anak cucu terbela,” katanya dalam ceramah di Wangsa Maju, Wilayah Persekutuan, malam tadi.
Selain itu, Zahir juga menimbulkan isu perumahan rakyat yang amat dirasai oleh penduduk bandar seperti di Wangsa Maju.
Katanya, di Malaysia ada 7.3 juta isi rumah. Hanya 6.01 juta keluarga sahaja memiliki rumah. Lebih 1 juta keluarga memang tidak mampu sama sekali membeli kediaman.
“Bagi yang muda berhasrat nak kahwin, nak mendirikan rumah silap-silap dapat lihat sahaja rumah. Sebab tak mampu kerana di Malaysia pendapatan seseorang tidak mencukupi untuk memiliki rumah. Keluarga yang mempunyai pendapatan RM100,000 setahun mampu beli rumah berharga RM300,000.
“Oleh itu hanya 24% keluarga di Malaysia yang mampu memiliki rumah berharga RM300,000 itu dan ke atas.
“Jangan cakap rumah mahal, yang berharga 300,000 ini pun 24% sahaja daripada keluarga mampu memiliki,” katanya.
Justeru, beliau menyeru rakyat Malaysia memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk memperbaiki keadaan ekonomi dan sosial di negara ini sebelum menjadi lebih buruk dan tidak lagi boleh diperbaiki.
“Kasi peluang kepada kami memperbaiki keadaan. Kita akan buat dasar yang inshaAllah dapat membela saudara saudari dalam isu rumah mampu milik dan lain lain,” katanya.