Perjanjian Kerjasama Kerajaan Perpaduan yang ditandatangani semalam antara PH, BN, GPS, GRS dan Warisan tidak mempunyai unsur unsur kediktatoran.
Menurut mantan Senator Dewan Negara, Yusmadi Yusoff, pendapat bekas Menteri Undang undang, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin bahawa perjanjian tersebut bersifat diktator adalah meleset sama sekali.
Katanya, kediktatoran lebih kepada upaya seseorang ketua menekan keputusannya kepada sesuatu kumpulan dan tidak membenarkan sebarang perundingan.
“Kediktatoran apabila seorang itu membuat keputusan dengan sendiriannya tanpa melalui proses musyawarah atau perbincangan, dan keputusan tersebut ditekan terhadap pengikutnya, atau mereka yang merupakan subjek dalam konteks yang luas ialah rakyat
“Apa yang berlaku dalam MoU ini saya lihat hal itu dibuat secara terbuka di antara ketua ketua parti dan juga mewakili gabungan masing masing yang mana ia dibincang secara terbuka dan akhirnya dimeterai melalui satu perjanjian bertulis.
“Malah perjanjian itu diedarkan secara terbuka dan tular di media sosial. Apa yang berlaku ini bagi saya satu contoh amalan demokrasi yang mana ianya dibuat dengan cara yang amat teratur,” katanya dalam satu siaran media.
Malah ulas Yusmadi, beliau difahamkan perjanjian tersebut disusun dan didraf dengan nasihat undang undang yang tepat dan berwibawa.
“Saya percaya pimpinan kanan, baik gabungan PH, BN, GPS dan GRS mereka juga mendapat nasihat guaman yang tepat untuk menandatangani perjanjian.
“Yang menariknya Datuk Seri Anwar memberi peluang kepada ketua koalisi menyatakan pandangan mereka secara terbuka,” katanya
Menjawab tuduhan perjanjian tersebut mengandungi unsur jenayah sebagaimana didakwa oleh peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, Yusmadi tidak melihat mana mana peruntukan undang undang boleh disesuaikan dengan dakwaan berkenaan.
Katanya jenayah bermula dengan niat. Jika dilihat niat perjanjian tersebut adalah untuk melaksanakan satu titah Yang di-Pertuan Agong agar merencanakan satu perkara membentuk kerajaan yang stabil dan dapat membawa Malaysia ke tahap lebih baik. Hal itu tidak boleh dinisbahkan kepada jenayah.
Beliau juga tidak melihat seksyen 124 yang mengadaikan jika terdapat sesiapa yang punyai niat jahat melakukan satu keadaan yang boleh memaksa Ahli Parlimen atau ADUN atau Exco, dilakukan secara yang bertentangan undang undang telah terwujud dalam perjalanan melaksanakan perjanjian tersebut.
“Andainya ia boleh terjumlah ke seksyen 124, bagi saya ia andaian yang meleset.
“Malah rakyat perlu bebangga dengan panduan yang telah ditunjukan oleh Yang di-Pertuan Agong dan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar bermulalah satu pendekatan demokrasi sangat telus dan tidak menggunakan pendekatan mencurigakan, dan saya percaya ini sesuatu yang perlu diraikan,” katanya.
Beliau juga mengingatkan demokrasi di Malaysia adalah secara berperwakilan dan bukannya demokrasi langsung yang boleh memilih presiden di peti undi. Demokrasi berperwakilan membenarkan parti politik yang dianggotai wakil wakil rakyat melakukan sebarang perjanjian untuk membentuk kerajaan.