Biar pun pandemik Covid 19 telah hampir setahun berlalu namun bagi golongan B40 atau yang terjejas ekonomi domestik mereka akibat wabak tersebut, tetap masih memerlukan bantuan kewangan tambahan untuk meneruskan kehidupan.
Sehubungan itu, Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Selangor (PGIR) menyarankan agar kerajaan membenarkan sekali lagi pengeluaran wang simpanan KWSP bagi menampung kehidupan pencarum.
Pengerusi PGIR, Azmi Mohd Tahir berkata, pencarum amat tertekan dengan inflasi serta kos kehidupan selepas pandemik yang meningkat terlalu tinggi pada waktu masih ramai yang menganggur masih belum sepenuhnya mendapat pekerjaan baharu.
“Pencarum yang berniaga tidak dapat membiayai kos bahan mentah dan tidak mencapai keuntungan yang seimbang.
“Kenaikkan OPR bank telah menyebabkan ansuran pinjaman meningkat dan membebankan peminjam.
“Manakala harga barangan yang tidak dapat dikawal dengan sempurna, dan agak sukar untuk dibendung kerana ia akan memberi kesan kepada pembekal dan secara tidak langsung menekan peniaga serta pengguna. Ini menyebabkan kuasa pembeli merudum,” kata Azmi dalam himpunan berhampiran bangunan Parlimen pagi tadi.
Katanya lagi, kesan pandemik Covid juga menyebabkan Industri Kecil dan Sederhana tidak dapat bertahan. Katanya untuk pulih daripada kerugian mungkin mereka mengambil masa lebih 2 tahun dan hal itu akan menyebabkan pengangguran di Malaysia terus meningkat.
Begitu juga kesan kepada yang bekerja dalam sektor penghantar barang yang sambutan daripada pengguna semakin berkurangan. Mereka juga terpaksa menghadapi persaingan sengit kerana rakyat tiada pilihan selain terpaksa bekerja sebagai rider kerana kurangnya pekerjaan baharu ditawarkan oleh sektor industri.
Bagi golongan yang berumur 40 tahun ke atas pula, kata Azmi, mereka sukar untuk mendapat pekerjaan baharu apatah lagi jika menghidapi penyakit kritikal seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya.
“Di samping kos kehidupan yang tinggi, golongan ini menghadapi kekangan untuk merawat penyakit kritikal ini dengan
lebih efektif kerana tiada kemampuan mendapatkan rawatan termasuk kos ulang alik ke fasiliti kesihatan.
“Golongan yang teruk terkesan terutama yang hilang pekerjaan dan yang mengalami pengurangan pendapatan ketara atau gagal menyelesaikan komitmen bulanan selepas moratorium berakhir, sehingga tahap hampir diisytiharkan muflis terdesak memerlukan pengeluaran untuk menyelesaikan hutang secara lumpsum,” katanya lagi.
Selain itu, beliau berkata pengeluaran KWSP tersebut boleh membantu keluarga mengurangkan beban untuk menghadapi permulaan sesi persekolahan baharu anak anak pada tahun hadapan.
Memorandum tersebut telah diterima oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang berjanji akan memanjangkan keresahan rakyat itu kepada pengetahuan Datuk Seri Anwar Ibrahim.