Kereta rasmi kegunaan Perdana Menteri Malaysia yang didakwa ditempah pada era Tan Sri Mahiaddin Yassin menjawat PM menimbulkan polemik sejak beberapa hari ini.
Meskipun telah 3 hari didedahkan oleh PM semasa, Datuk seri Anwar Ibrahim dalam perbahasan di Dewan Rakyat baru baru ini namun tempoh masa kereta itu ditempah sewaktu rakyat kesusahan menghadapi pandemik Covid 19 menimbulkan kekecewaan orang ramai.
Menurut Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh, Mahiaddin tidak sepatutnya menempah kereta berjenama Mercedes yang harganya hampir RM1 juta pada ketika rakyat bergelut meneruskan hidup.
“Tan Sri (Mahiaddin) sendiri sebut nak tumpu pada isu rakyat semasa negara berhadapan dengan Covid-19 tetapi tindakannya tidak selari dengan apa yang diperkatakannya.
“Sebagai pemimpin negara, apa yang dicakap kena selari dengan apa yang dilakukan. Tetapi nampaknya beliau lebih berminat untuk berkereta baru,” katanya dipetik.
Sebelum ini tokoh wartawan A Kadir Jasin dalam tulisannya memuatkan petikan hantaran Facebook bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad yang antara lain berkata: “Sebagai Perdana Menteri pada masa itu, Tan Sri Muhyiddin diberikan dua pilihan kereta rasmi iaitu MPV Lexus dan Mercedes S600. Harga kedua-duanya terlalu mahal dan minit (dokumen) terakhir Tan Sri Muhyiddin kepada Jabatan Perdana Menteri ialah supaya harganya dikaji dan dirunding semula. Kelulusan akhir perlu dibuat oleh Kementerian Kewangan” yang menunjukkan, dakwa Kadir, PM bersetuju dengan pembelian.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim menasihatkan agar pemimpin mencontohi sikap PM Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menolak menggunakan kereta rasmi S600 tersebut untuk berjimat.
“Faham kedudukan dan imej sebagai seorang pemimpin tetapi kena beringatlah tidak terlalu mewah, kenderaan yang selesa dan bersesuaian pun sudah memadai.
“Eloklah dengan mencontohi sikap PM (Anwar) di mana-mana peringkat sekalipun, pakai apa sahaja yang sudah tersedia untuknya,” katanya lagi.