Rakyat Malaysia seharusnya menilai pihak mana yang lebih ikhlas membela mereka sejak 3 bulan kebelakangan ini.
Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata demikian susulan pelbagai program yang dilakukan Kerajaan Perpaduan bagi menstabilkan politik, mengurangkan kos hidup dan merancakkan semula ekonomi berbanding pembangkang PN yang hanya bijak merancang menjatuhkan kerajaan.
“Sekurang kurangnya kita telah berjaya menurunkan harga. Bila harga kurang ada lebihan duit dalam poket yang boleh dibelanjakan untuk tujuan lain.
“Semua orang mengharapkan kerajaan berusaha mengurangkan masalah rakyat, tetapi ada sejenis manusia di negara kita dari satu kelompok yang punya gelaran ulama, pakai serban besar, jubah dan sebagainya. Namun bicaranya untuk nak jatuhkan kerajaan yang ada hari ini dalam tempoh terdekat. Saya tak boleh fikir apa jenis manusia yang persoalan pokoknya nak tukar kerajaan.
“Kita baru lepas pilihanraya. Rakyat diberikan hak untuk mengangkat satu pihak menerajui kerajaan dalam negara kita.
“Yang di-Pertuan Agong pun telah bersetuju untuk memberi mandat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan rakan gabungan pelbagai parti. Kita semua (mesti) pikir tentang negara, bukan parti kita, diri kita sendiri,” katanya dalam satu siaran media.
Mahfuz dalam pada itu berasa aneh dengan sikap Hj Hadi yang mengamalkan ajaran al Quran dan sunnah tetapi setiap hari berfikir untuk menggulingkan kerajaan serta memporak perandakan negara sebagaimana pemerintahan PN – BN 3 tahun lalu.
Katanya, rakyat telah melihat ekonomi negara amat buruk dan pelabur menjauhi Malaysia sepanjang tempoh 2020 – 2022.
“Tetapi malang PN ini, Pas khususnya, Hj Hadi sebagai Timbalan Pengerusi PN dan Presiden Pas, yang setiap hari bibirnya basah dengan Quran, zikir dan sebagainya, tiba tiba dia fikir nak jatuhkan kerajaan. Sedangkan semua orang menerima apa yang disarankan Agong, iaitu menstabilkan politik.
“Adakah dengan tukar kerajaan politik, ekonomi boleh stabil? Pelabur hanya akan datang kalau politik stabil.
“Kalau Hj Hadi berikan gambaran kerajaan akan diguling dalam tempoh terdekat, mana ada pelabur nak datang ke negara kita,” katanya lagi.
Justeru Mahfuz meminta rakyat yang prihatin dan boleh menghubungi Hj Hadi agar menasihatkan pemimpin muktabar Pas itu untuk tidak terus memburuk burukkan negara dan menyukarkan kehidupan rakyat.