Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan seharusnya mencermin diri sendiri sebelum menggelar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli politik pendendam dan kuku besi berikutan pendakwaan salah guna kuasa ke atas Pengerusi Perikatan Nasional, Mahiaddin Yassin.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Razak Ridzuan berkata Wan Saiful perlu sedar suatu ketika dahulu beliau merupakan libertarian tegar yang percaya kepada konsep kedaulatan undang-undang, selain seringkali lantang mengkritik pemimpin politik yang korup dalam Umno BN.
Tidak wajar, katanya, prinsip Wan Saiful tersebut berubah hanya beberapa tahun setelah menyertai politik dan membela secara membabi buta ketua beliau Mahiaddin Yassin yang didakwa tanpa menilai bukti dalam perbicaraan di mahkamah.
“Sebagai seorang yang pernah ‘beriman’ dengan prinsip kedaulatan undang-undang, Wan Saiful sepatutnya lebih sabar
menunggu perbicaraan di mahkamah sebelum secara terburu-buru berhujah bahawa kes tersebut adalah pendakwaan politik dan menggelar Perdana Menteri dengan gelaran yang bukan-bukan.
“Wan Saiful perlu bermuhasabah dan melihat fakta bahawa Pesuruhjaya SPRM dan Peguam Negara yang menyiasat dan mendakwa Mahiaddin Yassin adalah lantikan Mahiaddin sendiri.
“Adakah Wan Saiful meragui wibawa presiden partinya sendiri dalam melantik Peguam Negara dan Pesuruhjaya SPRM, sehingga kedua-duanya begitu mudah dipergunakan oleh PM10 (Anwar) untuk balas dendam politik?” tanyanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Razak menasihatkan Wan Saiful agar tidak terburu buru mengeluarkan kenyataan dan terlalu dibebani emosi politik.
Beliau juga, kata Razak, tidak wajar membiarkan diri larut dalam emosi setelah didakwa di mahkamah dalam kes penyelewengan skim Jana Wibawa.
“Sebagai politikus muda yang sedang meningkat naik, Wan Saiful harus belajar untuk bertenang dan tidak tergopoh-gapah mengeluarkan kenyataan liar.
“Jangan biarkan kes rasuah RM6.9 juta (melibatkan dirinya) yang sedang berlangsung di mahkamah mempengaruhi emosi,.” katanya lagi.
Mahiaddin hari ini didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.