Tindakan berterusan pemimpin Perikatan Nasional (PN) mempolitikkan isu penganjuran rumah terbuka Aidilfitri oleh Kerajaan Persekutuan dibidas Setiausaha Politik Menteri Kewangan.
Muhammad Kamil Munim berkata dakwaan pembangkang kononnya penganjuran majlis itu sebagai satu pembaziran hanyalah persepsi untuk memburukkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata.
Malah pembangkang, katanya, tidak pula memberi bukti program yang akan diadakan mulai Sabtu ini membazir seperti didakwa mereka.
“PN memberi hukuman bahawa pimpinan Kerajaan Malaysia Madani tidak berhak menganjurkan apa-apa program untuk rakyat hanya kerana prinsip penjimatan yang diperkenal perdana menteri,” katanya dalam kenyataan.
Ahad lalu, Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berkata Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di enam negeri bertentangan dengan pendirian berjimat-cermat Putrajaya.
Naratif itu kemudian diteruskan Timbalan Setiausaha PN, Takiyuddin Hassan melalui satu kenyataan semalam yang mendakwa penganjuran rumah terbuka di enam negeri yang bermula di Kedah pada 29 April itu bermotifkan politik dan mungkin melibatkan penyalahgunaan agensi dan jentera kerajaan.
“PN secara rasminya menjadikan rumah terbuka Aidilfitri kerajaan persekutuan sebagai modal yang mencetuskan permusuhan.
“Dakwaan motif politik dan tuduhan menggunakan jentera parti untuk persaingan pengaruh tidak dibuktikan adalah kenyataan berniat jahat untuk menimbulkan kebencian rakyat kepada kepimpinan perdana menteri,” katanya Kamil lagi.
Beliau sementara itu turut mempersoalkan kenyataan Takiyuddin semalam yang bercanggah dengan kenyataan rasmi Menteri Besar Pas di Terengganu dan Kelantan yang terang terangan mengalu-alukan kehadiran Anwar untuk menganjurkan sambutan Aidilfitri di kedua negeri tersebut.
Katanya, sambutan Aidilfitri pada peringkat negeri oleh Kerajaan Persekutuan tidak wajar dilabelkan melangkaui sempadan hormat dan adab.
“Usaha mendekati rakyat tanpa mengira sempadan negeri kerajaan dan pembangkang adalah tanggungjawab bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” tegasnya.
Pada masa sama, kata Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia itu, cubaan mengaitkan Kerajaan Persekutuan terhadap pembatalan siaran Takbir Raya PN pula sebagaimana dalam kenyataan Takiyuddin adalah provokasi kepada Kerajaan Perpaduan.
“Keputusan pembatalan program oleh Media Prima tidak mempunyai sebarang pengaruh daripada kerajaan.
“Sekiranya PN ingin mendapatkan maklum balas menjangkaui ‘ralat teknikal’ yang dimaklumkan, rujukan sebaiknya ditujukan kepada stesen televisyen berkaitan, bukan sewenang-wenangnya membuat dakwaan umum yang kerajaan bertanggungjawab ke atas pembatalan siaran takbir raya politik yang dibiayai oleh PN,” katanya.