Pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang bermimpi untuk menduduki kerusi Perdana Menteri atau Menteri menjelang hujung tahun ini tidak perlu meneruskan angan angan mereka.
Senator Abun Sui Anyit berkata bukan sahaja kerajaan tebuk atap tidak mungkin mengambil tempat sekali lagi, malah mana mana Ahli Parlimen yang dispekulasikan akan meletak jawatan untuk bertanding semula di kerusi sama dalam pilihan raya kecil (PRK) berkemungkinan akan kalah kepada calon lain daripada parti yang mereka tinggalkan.
“Terbaharu, kononnya 15 Ahli Parlimen dikatakan akan meletak jawatan untuk memberikan laluan mengadakan PRK
“Jika ini benar-benar berlaku, ini tidak akan menggugat Kerajaan Perpaduan walaupun kalau semua yang bertanding dimenangi Perikatan Nasional.
“Tetapi ini (kemenangan) tidak mudah kerana rakyat pasti bijak menilai dan memastikan yang bertanding nanti dimenangi calon calon gabungan Kerajaan Perpaduan.
“Berita 15 Ahli Parlimen meletak jawatan ini mungkin sengaja dimainkan oleh pihak terdesak untuk cuba menguji sama ada mainan mereka boleh dibeli oleh rakyat,” kata Abun Sui dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, tempoh mensucikan pengkhianatan politik dan beroleh sokongan kaum tertentu demi menyelamatkan masa hadapan bangsa daripada ditindas kapitalis Cina dan sebagainya telah pun berlalu.
Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sarawak itu, rakyat Malaysia pada waktu ini mula senang dengan perubahan yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang 6 bulan berkuasa.
Katanya, rakyat sedikit demi sedikit mulai matang dan tidak lagi mudah untuk dipermainkan setelah melihat rekod buruk pemerintahan PN sepanjang 3 tahun lalu.
“Peluang semasa Langkah Sheraton dan Kerajaan Ismail Sabri (yang diberikan sokongan) telah membuktikan pemerintahan mereka hanya untuk kepentingan peribadi.
“Tidak ada pelaburan baru masuk malahan pelabur keluar dari Malaysia. Lebih malang, peruntukan Kerajaan untuk rakyat pula disakau keluarga Menteri tertentu,” katanya.
Justeru, Abun Sui mengingatkan kepada rakyat Malaysia yang masih dibuai mimpi bersama pemimpin PN agar sedar keutamaan yang diperlukan pada waktu ini adalah memulihkan ekonomi negara, bukannya mencuba satu lagi peralihan kuasa sia sia.
“Rakyat Malaysia kena peka dan perlu mengajar cukup-cukup ahli politik yang kelihatan ingin merosakkan Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh Ke-Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Perdana Menteri ketika ini sedang bekerja keras membangunkan negara, mendatangkan pelabur dari Negara China yang akan melabur RM170 bilion
“Maka ahli-ahli politik yang berkomplot untuk menjatuhkan Kerajaan sekarang umpama merosakkan negara yang sedang giat dibina kembali oleh Perdana Menteri dan Kabinetnya.
“Perbuatan ini jika berlaku adalah sesuatu yang amat merugikan rakyat,” katanya lagi.
Oleh itu, Abun Sui berharap rakyat yang semakin matang berpolitik agar menunjukkan isyarat penolakan kepada pihak yang mahu merebut kuasa dalam pilihan raya negeri yang akan datang.