Penganugerahan kontrak pembekalan minyak dari syarikat minyak Petron Malaysia kepada MAS yang ditandatangani pada 29 Jun lalu bagi membekalkan dan membeli bahan api Airbus A380 selama enam bulan, mulai 1 Julai lalu menimbulkan kemarahan rakyat.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendesak kerajaan mengambil memecat Dr Mahathir dari jawatan penasihat Petronas kerana gagal menjaga kepentingan syarikat GLC itu, sebaliknya menjaga kepentingan syarikat yang ada kaitan dengan anaknya, Petron Malaysia.
“Mahathir sepatutnya mengutamakan kepentingan Petronas dengan melobi syarikat minyak negara diberi peluang membekal bahan api kepada pesawat Airbus A380 kerana ia selaras dengan jawatan yang dipegang olehnya.
“Namun beliau mengenepikan Petronas tetapi mengunakan pengaruhnya melobi untuk syarikat milik keluarga beliau,” kata Mahfuz
Tindakan Mahathir, jelas Mahfuz, sangat tidak bertanggungjawab dan tidak selayaknya sebagai seorang penasihat
“Sepatutnya Petronas diberi peluang kerana kedua-duanya iaitu MAS dan Petronas adalah syarikat milik negara namun disebabkan kepentingan peribadi lebih diutamakan maka syarikat kroni diberi peluang,” sambungnya lagi.
Pada Ogos tahun lalu, syarikat konglomerat San Miguel yang turut dikuasai Mokhzani Mahathir telah menandatangani perjanjian untuk membeli 65 peratus kepentingan ExxonMobil pada harga AS$610 juta (RM1.89 bilion).
Sebahagian daripada perundingan itu, San Miguel akan menguasai anak-anak syarikat perniagaan hiliran ExxonMobil di Malaysia iaitu Malaysia Sdn. Bhd. dan Exxon Mobil Borneo Sdn. Bhd.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga turut berpendapat, serangan yang dilakukan oleh Mahathir terhadap Pakatan Rakyat adalah sebagai agenda peribadi beliau bukannya agenda politiknya.
“Kita lihat macam mana Mahathir menyerang Pakatan Rakyat dan beliau ingin pastikan agar Barisan Nasional (BN) terus memerintah bagi menjamin kekayaan negara dapat dimonopoli oleh beliau.
“Sebab itu kontrak awal hanya enam bulan ia hanyalah sebagai menghadapi pilihanraya dan jika Pakatan Rakyat memerintah maka kontrak itu akan tamat tetapi jika BN terus memerintah saya pasti kontrak itu akan disambung lagi,” tegasnya.