Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengalu alukan pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan modul penghayatan himpunan hadis 40 Imam Nawawi.
Menurut Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, pengajaran hadis 40 tidak seharusnya dipolemikkan kerana modul berkenaan hanya diajar dalam kalangan pelajar bergama Islam sahaja.
Beliau berkata, pengajaran itu penting bagi meluruskan pemahaman Islam anak muda agar tidak terjebak ke jurang ekstremisme.
“Perlaksanaan modul ini bertepatan dengan keperluan semasa dan masa hadapan negara untuk memupuk amalan kesederhanaan yang dianjurkan sebagai nilai hidup dalam kalangan generasi muda muslim khususnya.
“Bahkan hadis 40 yang dikumpulkan Imam Nawawi mencakupi penerapan nilai-nilai murni serta akhlak mulia berdasarkan sumber rujukan serta autoriti yang jelas daripada hadis-hadis yang sahih.
“Ini sekaligus dapat membasmi fahaman melampau dalam beragama daripada berleluasa di negara ini kerana ia tidak disandarkan pada apa-apa autoriti agama yang kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hadis 40 juga, menurut Faizal, akan menjadi kunci untuk memastikan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia dapat terus dipelihara berlandaskan kesederhanaan Islam, serta mencakupi hubungan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Pada masa sama, ABIM juga menegaskan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam sebagai agama persekutuan tidak tidak bertentangan dengan pengajaran modul tersebut di sekolah.
“Tafsiran kepada perutukan Perlembagaan tersebut adalah meluas mencakupi Islam sebagai agama dan cara hidup sempurna muslim di Malaysia.
“Kedudukan Perkara 3 ini sudah pun diperjelaskan melalui penghakiman-penghakiman di Mahkamah Persekutuan sebelum ini,” katanya.
Beliau merujuk penghakiman kes Azalina Jailani (Lina Joy) lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan 2 Yang Lain [2007] 3 AMR 693. Dalam penghakiman itu, Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz memberi makna Islam sebagai:
“…bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman”.
Justeru, kata Faisal, ABIM menggesa semua pihak berlapang dada serta menghormati inisiatif kerajaan khususnya dalam membawa pendidikan Islam yang lebih syumul sejajar dengan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.