Spekulasi mendakwa kononnya 7 Ahli Parlimen (MP) BN akan melompat parti menyertai lawan mungkin agak membimbangkan namun status berita tersebut sehingga kini masih berstatus khabar angin.
Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Nor Adam dalam siaran langsung Facebooknya malam tadi mengesahkan wujud khabar angin tersebut tetapi berkata keadaan terkawal dan dalam pemantauan rapi.
“Dia (yang cuba berkhianat) akan tengok mood bagaimana kita punya sokongan di Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Pulai, (DUN) Simpang Jeram dan DUN Pelangai.
“Pulai mungkin kita akan menang kalau semua turun mengundi, yang duduk Singapura balik, pengundi Cina keluar.
“Sekarang saya nampak yang ketegaq 3 orang yang banyak mengatur perjumpaan dengan geng pemuda lama. Mereka dah mula buat gerakan,” katanya yang bersiaran bersama Facebooker KEADILAN, Dzulhilmi, membincangkan isu politik semasa.
Lokman menyifatkan Ahli Parlimen yang diura urakan akan melompat itu tidak peduli kepada rakyat kerana mereka akan menghadapi PRK akibat kerusi akan dikosongkan.
Namun begitu, beliau memberi jaminan UMNO kekal kukuh dan tidak akan terjejas dengan spekulasi tersebut.
Katanya, selain 7 MP itu, Ahli Parlimen teguh berada di belakang Presiden Datuk Seri Zahid Hamidi dan kerajaan tidak akan tumbang.
“Jangan bimbang kita dah tutup rapi. So diorang yang bising bising setakat boleh melalak saja.
“Habis kuat dia suruh puak puak dia maki DAP. Suruh setengah dari kita (tohmah) DAP punca kita kalah. Tak ada kesan apa pun.
“Kita dah tutup rapi, Presiden UMNO dalam kedudukan yang sangat kuat, sangat kukuh. Kerajaan ini akan bertahan satu penggal penuh, 5 tahun. InshaAllah,” katanya lagi.