Kerajaan dijangka akan menghapus pengkelasan B40, M40 dan T20 mulai tahun hadapan bagi pengkelasan pendapatan rakyat yang lebih teratur dan komprehensif.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, keputusan itu diambil kira bagi menambah baik pangkalan data yang lebih adil dan menyeluruh.
“Ada beberapa kelemahan dengan pendekatan menggunakan kaedah pendapatan semata-mata ia tidak mengambil kira pembolehubah yang lain termasuklah tanggungan keluarga dan lokasi yang berbeza mengikut kawasan.
“Saya kira kesukaran yang ada sebelum ialah infrastruktur pangkalan data tidak menyeluruh dan memungkin kerajaan memgambil kira faktor-faktor lain.
“Sebab itu tindakan pertama kita wujudkan Pangkalan Data Utama (PADU) dan dengan kemajuan teknologi dan sains ia membolehkan mengumpul lebih banyak maklumat yang ada,” katanya dalam Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai hasrat kerajaan memperkenalkan dasar sosioekonomi agar lebih menyeluruh.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, PADU dijangka mempunyai kemampuan sehingga 120 pembolehubah bagi setiap isi rumah keluarga dan ia membolehkan Pendapatan Boleh Belanja Bersih Isi Rumah dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.
“Maksudnya melihat kepada pendapatan kemudian ditolak kepada tanggungan dan diambil kira juga pembolehubah seperti lokasi, harta dan itu akan memberi gambaran yang lebih adil.
“Justeru kita sudah mempunyai taburan berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih ini maka kerajaan boleh membuat penyasaran bantuan yang khusus kepada kumpulan tertentu dengan kaedah yang lebih kompleks berbanding kaedah yang ada sebelum ini,” ujarnya.