Pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Terengganu berhak mendapat wakil rakyat terbaik memandangkan kawasan parlimen itu pernah diwakili seorang Menteri Persekutuan.
Menurut Pengarah Biro Komunikasi dan Penerangan KEADILAN Kemaman, Ahmad Nadhir Yob, pengundi seharusnya membandingkan prestasi mantan Ahli Parlimen Kemaman Ahmad Shabery Cheek berbanding wakil rakyat terkini, Che Alias Hamid yang baru baru ini dibatalkan kemenangannya oleh mahkamah pilihanraya.
“(Sebelum ini) rakyat Kemaman pernah mempunyai Ahli Parlimen yang berstatus tinggi seperti Datuk Shabery Cheek. Pernah jadi menteri. Kenapa rakyat Kemaman nak menurunkan standard itu?
“Makanya orang Kemaman berhak mendapat Ahli Parlimen yang berkualiti. Terbukti kerja Shabery dari sudut pengurusan banjir (sewaktu menjadi Ahli Parlimen) diakui sebagai yang terbaik.
“Golden standard yang Shabery buat dalam pengurusan banjir itu ditiru oleh negeri negeri lain,” katanya kepada Suara Keadilan.
Ahmad Nadhir berkata, berbeza dengan Che Alias yang mewakili Kemaman selama sepenggal, suara rakyat di kawasan itu tenggelam di Dewan Rakyat kerana beliau tidak berjaya mengutarakan isu tempatan mahupun nasional secara bernas.
Hal itu, katanya berbeza ketika Shabery yang pernah menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mewakili kawasan berkenaan.
“Kali ini ada keperluan untuk Kemaman mempunyai seorang wakil rakyat berkaliber.
“Setakat ini tidak ada lagi wakil rakyat dari Terengganu yang boleh bersuara lantang, terutama dari Pas. Kebanyakannya merapu sahaja.
“Che Alias pula kurang cemerlang. Dia bercakap pun baca teks, dua tiga kali (bercakap) di parlimen, tak ada mencelah dan sebagainya,” ujar beliau.
Manakala pemilihan anak Kemaman, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, kata Ahmad Nadhir merupakan bukti kesungguhan UMNO mahu mengembalikan standard tinggi Kemaman, diwakili oleh golongan intelek dan berjasa kepada negara.
“Pemilihan bekas jeneral ini bukti kesungguhan BN untuk merampas kembali kerusi Kemaman yang dahulunya memang kubu kuat BN.
“Pemilihan Raja Affandi kerana beliau anak Kemaman yang berjaya di luar dan ingin kembali berbakti kepada rakyat Kemaman,” katanya lagi.
Setakat ini Pas belum mengumumkan calon mereka. Namun berkemungkinan Che Alias akan digugurkan kali ini.
Beliau dispekulasikan akan diganti oleh sama ada Menteri Besar Terengganu atau calon import yang merupakan bekas menteri dari Kelantan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Kemaman, pada 2 Disember depan. Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 November, manakala hari pengundian awal 28 November.
PRK Kemaman diadakan apabila pada 26 September lepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili Pas setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)