Diplomasi aktif yang diamalkan Malaysia seawal konflik Palestin – Israel telah meletakkan negara sebagai antara pemain utama di Asia Tenggara dalam hal menyelesaikan konflik berterusan di Asia Barat.
Bagi Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh, tindakan diambil negara tidak seperti sebelumnya yang hanya berupa ‘cakap politik’ tetapi kali ini Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menemui para pemimpin asing dalam usaha melobi tekanan berterusan terhadap rejim zionis.
“Kita dari awal konsisten bawakan isu ini lebih daripada setakat diplomasi biasa. Jadi apa yang PM buat adalah diplomasi aktif yang bukan sahaja mengeluarkan kenyatan atau panggilan telefon, tetapi berjumpa dengan pemimpin di negara teluk dengan negara lain, termasuk di APEC (persidangan di Amerika Syarikat akan datang).
“Bagi saya mungkin nanti ada yang mengatakan itu hanya ‘cakap cakap’ juga, akhirnya akan mengeluarkan satu kenyataan bersama atau kenyataan Malaysia mengutuk dan mengeji, namun saya rasa bezanya dalam keadaan sekarang, terutama timming dia, berbeza untuk kita meneruskan (tindakan sedia ada), walaupun cakap tetapi dengan nada mendesak, menuntut, itu dilakukan secara agreasif
“Keduanya, saya rasa ada perkara yang mungkin berlaku di belakang yang kita mungkin tidak tahu. Contohnya mungkin tindakan penyediaan pasukan pemulih atau pasukan keselamatan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (PBB) atau pasukan keselamatan di bawah OIC. Ini antara tuntutan tambahan yang boleh kita gesa kepada pihak kerajaan Malaysia,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Menurut Syed Ibrahim, biar pun deklarasi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab semalam mengenai gesaan keras diadakan gencatan senjata masih belum dituruti Israel kerana dilindungi oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis namun terdapat tanda tanda Israel mengurangkan kegilaannya dalam pembantaian umat Islam Palestin dengan membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan berbanding pada peringkat awal konflik.
“Tanda tanda ada, dengan huminitarian pause, dia bagi 4 – 5 jam (hantar bantuan kepada penduduk) tetapi tak memadai kerana serangan bukan kepada Hamas tetapi kepada hospital, sekolah, kem pelarian (orang awam),” katanya lagi.
Meskipun, tegas Ahli Parlimen Ledang itu, ada pihak yang menyatakan usaha Malaysia masih belum mencukupi namun usaha bersama mengenai bantuan kecemasan dan makanan telah pun digerakkan dan telah diakui oleh pihak antarabangsa.
Terkini konflik Palestin – Israel telah meragut lebih 11,000 nyawa orang awam dan melibatkan kehancuran berpuluh ribu kediaman dan bangunan awam.