Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pihak yang menyokong perjuangan Palestin tidak boleh dianggap sebagai penyalur kepada kebencian atau sokongan kepada keganasan.
Sebaliknya, Perdana Menteri berkata Malaysia menganggap apa yang berlaku di Palestin pada masa ini adalah krisis kemanusiaan yang dicetuskan oleh peperangan yang kejam dan sewenang-wenangnya.
“Akhirnya, ini bukan tentang yang mana Tuhan kita berdoa. Lagipun, lebih 11,000 mangsa di Gaza terdiri daripada orang Islam dan Kristian serta rakyat pelbagai negara.
“Ini adalah mengenai mencegah lebih banyak kematian, lebih banyak lagi penderitaan dan lebih banyak kebencian,” katanya ketika berucap dalam syarahan khas bertajuk: “Super Power Rivalry and Rising Tensions in the Asia Pacific” di University of California, San Francisco, Amerika Syarikat pada Rabu.
Perdana Menteri berkata krisis kemanusiaan di Palestin akan memberi kesan bukan sahaja kepada rakyat Palestin atau rantau Timur Tengah secara meluas, tetapi juga kepada hubungan global untuk satu tempoh yang panjang
“Apa yang berlaku di Palestin hari ini akan memberi kesan kepada kita. Implikasi kepada pertelingkahan ini amat signifikan dan akan berlarutan untuk tempoh yang panjang,” katanya.
Menegaskan pendirian Malaysia, Anwar berkata negara ini menggesa diadakan gencatan senjata dan menghentikan pengeboman tanpa henti ke atas Gaza.
“Seperti yang saya nyatakan di Parlimen, tidak ada kata dua dalam perkara ini. Kita mengutuk keganasan, dalam semua bentuk, dan kita mengutuk secara mutlak tindakan membunuh, membunuh oleh yang tidak berdosa dan menjadikan wanita serta kanak-kanak sebagai tebusan.
“Begitu juga, kita mengutuk sekeras-kerasnya pengeboman orang awam, rumah dan hospital dan kekejaman yang berbangkit terhadap nyawa yang tidak bersalah, kanak-kanak, wanita, dan lelaki dilakukan siang dan malam di Gaza tanpa hukuman. Ini adalah pelanggaran yang terang-terangan terhadap antarabangsa undang-undang.” katanya.
Anwar dalam rangka mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) San Francisco, California dari 14 hingga 17 November ini.
Laporan sebelum ini menyebut pesawat kargo khas yang membawa penghantaran kedua bantuan kemanusiaan sumbangan Malaysia untuk rakyat Palestin menerusi Ops Ihsan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa El-Arish, Mesir pada 11 November lepas.
Pesawat kargo khas berlepas kira-kira 11 malam dari Terminal Kargo, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) membawa barangan keperluan utama seberat 20 tan antaranya makanan, barangan bayi serta perubatan.
Penghantaran kedua itu menjadikan jumlah barangan bantuan dihantar Malaysia mencecah kepada 40 tan setelah melakukan penghantaran pertama melibatkan barangan seberat 20 tan pada 3 Nov lepas.
Penghantaran itu merupakan sebahagian daripada 50 tan barangan berjumlah lebih RM7 juta yang dikumpulkan untuk Ops Ihsan.
Baki barangan bantuan seberat 10 tan dijangka dihantar dalam penerbangan ketiga dalam masa terdekat.
Sebaik bantuan berkenaan tiba di Mesir, barangan berkenaan akan diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir sebagai rakan kerjasama bagi membawa masuk bantuan ke Palestin melalui pintu sempadan Rafah-Gaza.