Pangkalan Data Utama (PADU) yang dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi bakal menyediakan pengukuran tahap sosioekonomi rakyat secara lebih tepat dan memudahkan kerajaan melaksanakan polisi subsidi bersasar serta memberikan bantuan kepada golongan yang layak.
Hal itu dinyatakan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam Majis Peluncuran PADU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Menurut Rafizi, rakyat seharusnya mengemaskini maklumat mereka melibatkan 39 variabel. Pengemaskinian itu, kata beliau, akan dapat menambah baik mekanisme penentuan kumpulan sasar, memperkemas saluran penyampaian dan membolehkan pelaksanaan program lebih berkesan.
“PADU akan dapat membantu Kerajaan menyediakan pengukuran kedudukan sosioekonomi rakyat dengan lebih tepat dan
mengelakkan keciciran berdasarkan pendapatan boleh guna bersih.
“Kaedah pengukuran ini mengambil kira jumlah tanggungan dan bilangan isi rumah, kos sara hidup mengikut lokasi, jarak ke tempat kerja serta pemilikan aset seperti rumah, kenderaan dan tanah.
“Pendekatan ini juga membolehkan Kerajaan beralih daripada konsep B40, M40 dan T20 tetapi lebih melihat kepada kewajaran
pemberian bantuan berdasarkan kriteria yang ditetapkan,” katanya.
Dalam ucapan itu juga, Rafizi menekankan aspek keselamatan siber yang diperkatakan oleh rakyat sejak PADU mula diperkenalkan tahun lalu.
Oleh itu, jaminnya, PADU mengambil kira segala aspek berkaitan risiko keselamatan sistem dan kebocoran maklumat terperingkat.
“Bagi memastikan pengendalian data yang selamat, prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif telah diwujudkan.
“Di samping itu, kerjasama strategik turut diadakan antara Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Pejabat Ketua Pegawai
Keselamatan Kerajaan (CGSO), CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) Kementerian
Komunikasi dan Digital (KKD) untuk meningkatkan keselamatan dan mencegah kebocoran data serta memastikan perlindungan
data peribadi.
“Kerajaan juga turut melantik Kumpulan Pakar Bebas yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang yang berperanan sebagai semak dan imbang dalam memastikan pembangunan PADU memiliki ciri-ciri keselamatan yang terkini dan
terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, projek rintis PADU telah dijalankan di beberapa lokaliti serta kementerian dan agensi pada bulan
Disember 2023.
Lokaliti tersebut termasuk Mukah di Sarawak, Projek Perumahan Awam Desa Rejang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Flat Pandan Utama, Ampang Jaya dan Kampung Orang Asli, Hulu Kemensah di Selangor.
“Projek rintis di kementerian dan agensi pula melibatkan warga Kementerian Ekonomi, DOSM dan MAMPU. Usaha berterusan akan dilakukan bagi menambah baik pelaksanaan PADU supaya lebih mudah diakses dan mesra pengguna
“Sekiranya PADU berjalan lancar, ia akan dapat membantu mencapai sasaran defisit fiskal di bawah Kajian Separuh
Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021 – 2025 (KSP RMKe-12) antara 3.5% hingga 3% kepada KDNK pada tahun 2025.
“Inisiatif ini juga merupakan antara keutamaan Kerajaan dalam memastikan manfaat limpahan ekonomi dapat dirasai secara adil dan saksama oleh segenap lapisan rakyat.
“Oleh itu, saya sekali lagi ingin memohon kerjasama hadirin dan rakyat Malaysia untuk mengemas kini maklumat dan data dalam sistem PADU,” katanya lagi.