Selepas setahun Kerajaan Perpaduan berkuasa dan dengan kejayaan peringkat awal memulihkan ekonomi negara, tiada sebab rakyat mempertikaikan kerajaan yang ada dalam menyempurnakan penggal pemerintahannnya.
Bagi sebator Abun Sui Anyit, Kerajaan Perpaduan yang ada pada waktu ini adalah terbaik dalam menjaga kebajikan penduduk di Malaysia Timur, khususnya Sarawak.
Katanya, arahan Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri anwar Ibrahim pada awal pemerintahannya iaitu apa-apa hak Sarawak yang ada di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilaksanakan dalam masa sebulan telah menjadi mercu tanda tahap efisiensi yang dicita citakan oleh pentadbiran beliau.
“Tempoh sebulan yang diarahkan oleh PMX itu melambangkan tekad politik beliau dan Kerajaan Perpaduan.
“Kita lebih bertuah lagi kerana yang diberi tanggungjawab mengetuai dan melaksanakan arahan tersebut ialah Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri II dari Sarawak.
“Sempena hadirnya tahun baru 2024 ini, semoga hak-hak Sabah dan Sarawak dalam MA63 dapat dipulangkan tanpa bertangguh lagi kerana arahan PMX itu jelas,” kata Abun Sui dalam satu kenyataan.
Tegas Timbalan Pengerusi KEADILAN Sarawak itu, Bukan sahaja hak-hak di bawah MA63, hak-hak rakyat sebagai Bumiputera Sabah dan Sarawak juga perlu digali untuk diperteguhkan.
Katanya, hak orang Melayu sama dengan Bumiputera Sabah dan Sarawak, cuma agama Islam sahaja yang membezakannya.
Sebagai contoh, kata beliau, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memberi hak sama kepada orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
“Justeru diharapkan tahun 2024 ini akan diisi dengan pemberian hak-hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan kepada setiap rakyat negara ini.
“Dengan adanya Kerajaan Madani dan 6 teras yang ada dalam Malaysia Madani, semua rakyat Malaysia yang berhak sentiasa diambil kira oleh Kerajaan Perpaduan.
“Dengan kejayaan PMX membawa komitmen pelaburan lebih RM225 bilion setakat September 2023 dari negara-negara luar, ini akan membuat Malaysia bangkit kembali sebagai antara negara yang terbaik di rantau Asia dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.
Tambah Abun Sui lagi, Kerajaan Perpaduan amat efisien dalam memberi keadilan dan kesaksamaan sama ada bagi penduduk Sarawak atau Semenanjung.
Oleh itu, jelasnya, pembangkang seharusnya memainkan peranan bagi memperbaiki pencapaian buat rakyat, bukannya menggugat kerajaan.
“Tidak ada sebab pihak pembangkang terus menerus mengkucar-kacirkan negara dengan nafsu ingin menjatuhkan kerajaan yang sudah tepat di landasan dengan membuat langkah seperti Langkah Dubai dan sebagainya. Dan turut membuang masa dengan membuat fitnah serta memain isu 3R (raja, kaum, agama) yang melampau.
“Sebaiknya pembangkang perlu tumpukan kepada usaha semak dan imbang kepada Kerajaan Madani,” katanya lagi.