Budaya tohmah dan fitnah yang semakin menjadi jadi di media sosial perlu dihadapi dengan budaya kepenggunaan bijaksana, iaitu semak sebelum sebar.
Hal itu dinyatakan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam temubual bersama rancangan Studio Persepsi yang dihostkan oleh Datuk Seri Kamal Amir Kamal Hijaz, malam tadi.
Menurut Fahmi, rakyat hari ini dihadapkan dengan pelbagai sebaran, sama ada video lama, cerita separuh jalan, video diedit dan sebagainya untuk dikongsi kepada rakan dan taulan.
“Bagi saya, dapat maklumat sebelum kita share kadang kadang orang ada satu sifat (tertanya tanya) betul ke?
“Saya cadangkan kita wujudkan satu budaya pause, tarik nafas dulu, kita buka (mesej), semak dan kalau tak pasti jangan masukkan dalam group besar,” katanya.
Sehubungan itu, kata Fahmi, kementerian sejak Oktober lalu telah mewujudkan setiap malam satu segmen “Biar Betul” bersiaran pada 7.59 setiap malam di RTM 1.
“Di situ kita akan ambil fitnah apa yang disebarkan hari itu. Yang tak sahih, yang disebar dalam group WhatsApp taman, AJK surau, kita akan cuba jawab. Saya dapati kadang nak masukkan lagi banyak tetapi (segmen) 1 minit, apa yang kita boleh lakukan.
“Itu sebab ke hadapan beberapa perancangan dibuat bagaimana kita nak lawan fitnah ini lebih daripada segmen Biar Betul. Misalnya yang paling biasa dan terlalu mudah, si polan telah meninggal dunia, mengalami musibah atau langkah (politik) sekian.
“Kita perlu mendapatkan maklumat yang betul dan jangan terikut ikut dengan fatamorgana politik,” ujarnya.
Mengenai propaganda palsu yang setiasa diulang ulang, Fahmi tidak menolak taktik tersebut mampu membuat atau memperdaya seseorang untuk percaya.
Namun katanya, apabila beliau memberi amaran tindakan boleh diambil berdasarkan undang undang, ada pula yang menyalahkan beliau ‘menggertak’ kebebasan bersuara.
“Saya dah beri macam macam peringatan. Ada yang kata saya menakut nakutkan orang. Sebagai menteri dalam bidang ini saya perlu beri peringatan ada undang undang, sekiranya kita langgar ada tindakan akan diambil.
“Dalam masa sama, saya nampak pihak Tiktok misalnya beri pandangan, kalau orang awam mengadu mereka boleh ambil tindakan turunkan, tetapi alangkah baiknya kalau kita ambil hujah yang diangkat si polan, kita jawab hujah dengan lebih bernas.
“Saya ingat lagi Papagomo atau Wan Azri dia buat live. Kemudian masuk dalam live Wan Mahusin, bergaduh berdua. Bila Wan Mahusin beri pukulan maut, langsung dia (papagomo) sampai hari ini, saya rasa dia tak akan berani untuk berdepan Wan Mahusin,” katanya.