Kerajaan Madani dicadang menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA bagi menyekat tindakan menggugat kestabilan politik dan seterusnya merudumkan ekonomi melalui fitnah cubaan menumbangkan kerajaan yang dipropagandakan di media sosial.
Menurut Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam, kebebasan bersuara atau mengkritik yang praktikkan pembangkang seharusnya ada batas dan tidak boleh aktiviti memfitnah dibiarkan berleluasa.
“Kebebasan bersuara itu betul, kebebasan media tidak ada masalah tetapi (tentulah) tidak boleh dibenarkan kebebasan memfitnah, mensabotaj ekonomi negara, keamanan yang kita kecapi.
“Tanpa kestabilan politik pelabur tak masuk. FDI tak meningkat, kita punya kadar pengangguran yang sebelum ini berada dalam keadaan parah tidak akan mengukuh balik.
“Kenapa kita boleh mengecapi kadar pengangguran rendah, ekonomi baik, kerana kita ada kestabilan politik dan ekonomi.
“Tetapi kalau dibiarkan manusia macam Raja Petra, Papagomo berleluasa menabur fitnah benda yang tak betul, saya risau keajaan stabil pun akan tumbang kerana rakyat Malaysia bukan semua menggunakan otak mereka yang waras,” katanya dalam siaran langsung Facebook, semalam.
Lokman dalam pada itu memberi amaran bahawa rakyat Malaysia belum betul betul matang untuk menghadapi naratif songsang politik yang kini tersebar luas di media sosial.
Katanya, Pilihan Raya Umum ke 15 tahun 2022 lalu adalah bukti bahawa rakyat mudah terpedaya dengan kempen pembangkang biar pun banyak yang dipropagandakan itu tidak logik.
“Kalau rakyat 100% pakai otak tak adalah 4.2 juta yang mengundi PN pada PRU lepas. Selepas apa yang PN buat pada mereka sehingga hilang pendapatan sempurna, hilang kerja, hilang ahli keluarga, pinjam along, bunuh diri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
“Akhirnya bila mereka (PN) menabur fitnah keterlaluan, ramai yang tiba tiba jadi bodoh dan mengundi mereka,” katanya.
Tegas Lokman, pembangkang dan laskar siber pembangkang hari ini tidak tahu berterima kasih. Kerajaan telah memberi mereka kebebasan bersuara yang hampir sama sebagaimana diterima rakyat di negara maju.
Katanya, andai mereka hidup di zaman penasihat PN, Tun Mahathir Mohamad berkuasa maka kesemua mereka telah disapu bersih ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan apa yang telah mereka lakukan di media sosial.
“Cukuplah sampai bila nak cerita kerajaan tumbang tetapi tak tumbang? Logik mana. Hari ini kerajaan perlu gunakan SOSMA. Kalau dulu zaman Mahathir mereka sudah pun gunakan ISA.
“Apa istimewanya mereka yang menggunakan (naratif) macam macam langkah. Langkah Dubai (dan pelbagai tarikh tumbang kerajaan) tak kan kita nak biarkan mereka menjahanamkan negara.
“Kalau orang Malaysia yang duduk dalam negara ini boleh percaya cerita dongeng Raja Petra, Papagomo, maknanya tadensi pelabur untuk percaya dan lari, elak dari menanam modal di sini juga ada. Akhirnya yang menerima padah rakyat Malaysia,” katanya lagi.