Tindakan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas tokoh politik berprofil tinggi termasuk Tun Daim Zainuddin tidak ada kena-mengena dengan tuduhan kononnya Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berdendam ke atas musuh politiknya sebagaimana propaganda laskar siber pembangkang.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, SPRM sudah tentu mempunyai rekod dan asas yang kukuh bagi membuka siasatan ke atas mana-mana pihak yang terlibat.
“Kenapa nak kata dendam, kes melibatkan kesalahan rasuah, kalau ada kes siasatlah. Kenapa Tun Daim tidak boleh disiasat, mengapa Tun Mahathir dan anaknya tidak boleh disiasat?
“Kenapa anak-anak Tun Daim tidak boleh disiasat, orang lain boleh, apa masalah? Kalau betul tidak ada kes, tiadalah. Kalau ada kes dakwa dan buktikan dia tidak bersalah.
“Negara kita ada undang-undang dan rasuah boleh disiasat oleh polis dan SPRM serta pendakwaan dibuat oleh Peguam Negara. Bicara di mahkamah ada hakim..buktikan (jika tidak bersalah),” katanya.
Mohd Yahya yang juga Setiausaha Pengelola KEADILAN Selangor berkata, siasatan ke atas tokoh berprofil tinggi merupakan satu langkah yang tepat dilakukan oleh SPRM setelah sejak beberapa tahun pelbagai maklumat dibocorkan sama ada di dalam atau luar negara mengenai kekayaan tokoh tokoh tertentu.
Katanya keadaan itu jelas membuktikan Malaysia kini berada pada landasan betul apabila benar-benar bertindak untuk membanteras rasuah yang perlu disokong oleh rakyat.
“Ini hendak memperlihatkan apa yang dikatakan oleh Anwar, kita nak banteras rasuah dan amalkan tatakelola baik,” ujarnya lagi.