Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon dukungan penuh daripada seluruh rakyat untuk beliau melakukan perubahan menambah baik tata kelola dan memerangi rasuah.
Perdana Menteri (PM) berkata beliau menyedari kekerapannya membicarakan soal tatakelola dan rasuah tidak disenangi oleh segelintir pihak.
“Memang (isu) tata kelola (dan) rasuah dibenci oleh beberapa pihak tetapi mereka lupa sebab rasuah dan tata kelolalah (kerajaan) tidak dapat bagi peruntukan begitu besar kepada sektor pendidikan.
“Disebabkan isu tata kelola hampir 8,000 tandas (di sekolah seluruh negara) harus diperbaiki tahun lalu dan sebab isu tata kelola puluhan bilion wag rakyat dipunggah kepada beberapa tokoh tertentu.
“Saya jika tidak ada sokongan dalam politik dan lain-lain, sekurang-kurangnya dalam isu tata kelola dan tuntutan ke arah perubahan, saya pohon dukungan penuh daripada rakyat terutamanya,” katanya ketika berucap merasmikan program Wacana Pemikir Global 2024 di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Azizan yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil; Pro Canselor UM Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Dr. Noor Azuan Abu Osman.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata usaha menambahbaik tata kelola dan banteras rasuah tidak hanya boleh diserahkan kepada orang politik sebaliknya seluruh sistem di negara ini.
Beliau mengingatkan masyarakat tidak seharus lagi berpegang dengan kepercayaan bahawa menjadi Perdana Menteri atau Menteri Kewangan mesti memiliki kekayaan berbilion ringgit.
“Ini dianggap biasa, buat apa jadi PM kalau tidak kaya, bodohlah jadi Menteri Kewangan kalau tidak ada bilion-bilion.
“Pandangan haprak ini mesti diperangi dan tanggungjawab ini bukan saja orang politik tapi seluruh sistem,” katanya.
Beliau turut menggesa para sarjana di negara ini supaya lebih berani untuk membicara soal tata kelola dan memerangi rasuah.
“Kita harus pikul tanggungjawab termasuk saya…harus lebih berani daripada dahulu,” katanya.
Terdahulu Anwar berkata pihaknya menggalakkan budaya wacana terbuka dan lebih sihat di negara ini.
Katanya negara tidak akan mencapai mercu kejayaan jika wacana yang ada hanya mengheret kepada persoalan kaum dan agama yang sempit serta jumud.