KUALA NERUS – Hujan lebat yang mengakibatkan banjir besar telah menenggelamkan kawasn berhampiran Kampung Pengkalan Gelugur di sini, sehingga 100 orang penduduknya terputus perhubungan darat.
Dengan menaiki perahu, misi membantu mangsa banjir dari PAS Kuala Nerus telah berjaya mengagihkan bantuan kepada semua penduduk kampung tersebut yang terperangkap akibat bencana alam itu.
Antara yang menyertai rombongan tersebut adalah Yang DiPertua PAS Kuala Nerus M.Syukrimun Shamsuddin dan Mantannya Ustaz Abu Bakar Abdullah.
Sumbangan berupa makanan keperluan harian, selimut serta tilam telah berjaya disampaikan kepada 23 keluarga penduduk kampung terbabit.
Ketua cawangan PAS Jeram Hulu, Azli Wan Long, 49, berkata sebaik menerima berita terdapat mangsa-mangsa banjir terperangkap bantuan segera dihulurkan.
Katanya, setiap keluarga diagihkan barang keperluan dapur sementara menunggu bantuan dari mana-mana pihak berkenaan.
“Setelah dua hari banjir belum ada lagi bantuan segera dari pihak kerajaan untuk penduduk yang terlibat banjir di sini. Wakil rakyat (Barisan Nasional) pun belum muncul lagi,” dakwanya.
Di Unit Peti Undi (UPU) Bukit Guntung sahaja seramai 60 buah keluarga menerima bantuan. UPU Gong Badak (50 buah keluarga), UPU Tepoh (17 buah keluarga) dan UPU Gemuroh seramai 22 buah keluarga.
Mengulas perkara tersebut, Ustaz Abu Bakar yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan Dewan Ulama’ PAS Pusat berkata bantuan kepada mangsa-mangsa banjir diagihkan mengikut keperluan dan kemampuan parti.
“Kita (PAS) belum jadi kerajaan tetapi bantuan tetap dihulurkan mengikut keperluan dan kemampuan parti. Masing-masing setiap Dun di seluruh negeri berfungsi dengan baik kerana tanggungjawab sosial dalam masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Syukrimun,PAS Kuala Nerus juga telah menyampaikan bantuan di Unit Peti Undi (UPU) Bukit Guntung seramai 60 buah keluarga, UPU Gong Badak (50 buah keluarga), UPU Tepoh (17 buah keluarga) dan UPU Gemuroh seramai 22 buah keluarga.