Barisan Nasional Selangor menjadikan pertemuan dengan usahawan logistik dan pengangkutan pada program ‘Get Together Selangor Logistics Fraternity’ untuk melobi sokongan bagi pilihan raya umum ke-13.
Tinjauan pada program tersebut mendapati, Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed terpaksa merayu kepada kumpulan usahawan itu untuk memberi sokongan kepada BN.
“Kami merayu sokongan anda. Pilihan raya semakin hampir. Biarlah saya cakap secara jelas dan berterus terang,” katanya dihadapan kira-kira 100 hadirin pada program itu di Hotel Premiere, Klang semalam.
Pada program sama, Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM Berhad), Datuk Elias Kadir berterus terang dihadapan hadirin bahawa beliau akan memberi sokongan kepada BN, meskipun memegang jawatan dalam syarikat berkepentingan awam tersebut.
“Saya selalu ditanya sama ada saya ini mewakili KTMB atau BN? Saya terus terang katakan saya ialah penyokong BN,” kata Elias.
Sebelum bersama KTM Berhad, Elias mengetuai operasi di beberapa konglomerat utama Malaysia seperti UMW Toyota, Edaran Otomobil Nasional (EON), Proton, Kontena Nasional, Northport dan FELDA.
Pengakuan itu menguatkan hujah Pakatan Rakyat bahawa KTMB dijadikan tunggangan Umno-BN pada kempen pilihan raya umum ke-13.
Pada 25 Julai 2012 akhbar Suara Keadilan mendedahkan sumber dalaman, bahawa KTMB mengarahkan kakitangan jabatan korporat, sumber manusia dan pemasaran untuk mengedar kurma pada bulan Ramadhan yang merupakan kempen BN.
Manakala pada 12 April 2012, Mohd Zin Mohamed mengeluarkan arahan supaya pegawai KTMB membenarkan bendera BN dipasang di 28 stesen komuter di seluruh Selangor.
Dalam tinjauan Keadilandaily kepada seorang penyokong Parti Progresif Penduduk (PPP) dari Ampang yang tidak dinamakan memaklumkan, pertemuan bersama tersebut adalah yang pertama kali dilakukan BN Selangor.
“Sebelum ini tak pernah. Ini kali pertama BN buat pertemuan dengan usahawan ini. Itu pun sebab dah kalah pilihan raya 2008,” katanya kepada semasa sesi minum petang.
Manakala seorang pekerja MIC dari Batu Caves yang hadir bersama empat rakannya tidak menolak kemungkinan peruntukan kewangan ‘tersangkut di tengah jalan’ untuk kempen BN di Selangor.
“Batu Caves? OK lah.. Tapi bab wang susah sikit,” katanya.
‘Get Together Selangor Logistics Fraternity’ di Hotel Premiere, Klang 29 Mac lalu menghimpunkan wakil komponen parti Barisan Nasional dari 22 Bahagian di Selangor.