Perhimpunan aman pekerja Ladang Bukit Jalil di bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut hari ini bertukar kecoh berikutan Datuk Bandar yang berjanji ingin menemui mereka menukar fikiran enggan berbuat demikian pada saat akhir. Kira-kira 50 orang pekerja ladang yang sebelum itu menunjuk perasaan di perkarangan bangunan DBKL selama 2 jam bertindak menyerbu ke dalam bangunan pada pukul 12.40 untuk mendesakDatuk Bandar Datuk Fuad Ismail turun menermui para penduduk ladang berkenaan. Bagaimanapun mereka dihalang oleh unit penguatkuasa bandaraya dan pihak polis.
Sebelum itu penduduk yang tiba pada jam 10 pagi telah mengadakan tunjuk perasaan agar DBKL menghentikan perobohan rumah mereka di Ladang Bukit Jalil 15 mac depan.
Mereka mempersoalkan mengapakah DBKL mengeluarkan notis pengusiran paksa dan tidak melalui proses mahkamah. Sedangkan mereka telah menghuni ladang Bukit Jalil selama 30 – 50 tahun, tinggal di rumah ladang berkenaan sehinggalah baru-baru ini tanah tersebut dijual kepada pihak pemaju untuk dibina kondominium. Mengikut amalan lain-lain ladang yang dimajukan, pekerja berhak mendapat pampasan dan sebuah rumah percuma. Namun buruh Ladang Bukit Jalil tidak mendapat hak itu sebaliknya hanya pampasan RM22,852 yang tidak cukup untuk membeli rumah kos rendah berharga sekitar RM42,000.
“DBKL tolong pemaju dan menzalimi orang miskin yang mahu rumah murah. Mereka gunakan tapak itu untuk bina kondominium. Sedangkan mereka (DBKL) tidak ada perintah mahkamah untuk mengusir penduduk
“Dalam hal ini polis sepatutnya menolong penduduk. Polis mesti lindungi penduduk bukannya bantu DBKL robohkan rumah,” kata Fadiah Nadwa peguam kepada penduduk Ladang Bukit Jalil.
Menurutnya penduduk melalui tetuan Kesavan Advocate telah menghantar surat kepada DBKL pada 7 Mac 2011 memaklumkan notis merobohkan rumah yang dihantar DBKL adalah ugutan yang tidak sah kerana notis itu tidak menyatakan sebarang akta atau undang-undang yang diguna-pakai bagi pengusiran.
“Kami telah tulis surat kepada Datuk Bandar dan bagi tempoh 48 jam untuk jawab kerana pengusiran yang tidak sah itu namun mereka tidak menjawab surat kami. Oleh itu penduduk berkumpul di sini untuk menuntut DBKL memberi akujanji tidak meroboh rumah pada 15 Mac kerana tiada perintah mahkamah. Penduduk bukanlah setinggan,” sambung Fadiah.
Turut hadir merundingkan masalah penduduk ialah Setiausaha Agung PSM S. Arutchelvan. Baginya Akta Tanah Negara sering digunakan untuk mengambil tanah rakyat bagaimanapun tanah yang diambil mengikut akta itu terhad untuk kemudahan awam. Sedangkan dalam banyak kes, tanah kemudiannya dibangunkan dengan projek komersial.
“Mereka sering kata ambil tanah utuk kemudahan awam tetapi apabila tanah diambil ia bukan untuk kemudahan awam sebaliknya membuat kondominium, resort dan sebagainya. Itu bukanlah kemudahan awam,” katanya.
Naib Presdien PKR N. Surendren dan ahli parlimen Subang Sivarasa Rasiah turut berkongsi pendapat yang sama. Bagi mereka penduduk Ladang Bukit Jalil sepatutnya diberikan hak kediaman percuma memandangkan ada yang telah tinggal dan bekerja di ladang itu selama 80 tahun.
Penduduk dalam tuntutan awal meminta pemaju menyediakan 4 ekar tanah daripada 26 ekar yang diberi kepada pemaju membina rumah teres untuk mereka. Penduduk tidak puas hati dengan janji Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik yang mahu menyediakan rumah flat, kononnya tidak ada tanah untuk membina rumah teres.
Saiz asal ladang adalah 1,800 ekar dan baki yang akan dibangunkan 26 ekar. Dari keluasan itu mereka hanya menuntut 4 ekar sahaja. Di samping tuntutan untuk mengekalkan kuil, sekolah dan kubur sedia ada.
Sepanjang menanti bertemu Datuk Bandar penduduk menjeritkan pelbagai perkataan; ‘Turun Datuk Bandar, Timbalan Menteri Wilayah penipu, jangan usir paksa, DBKL kejam dan masa undi angkat kami sudah menang pijak kami’
Pada pukul 12.00, pegawai DBKL yang mewakili Datuk Bandar Nazri Alimat kemudian memberitahu Datuk Bandar menghadiri acara Mayor Award dan akan turun bertemu wakil penduduk dalam masa terdekat. Walau bagaimanapun setengah jam kemudian apabila acara tersebut selesai Nazri mengumumkan Datuk Bandar sedang makan tengah hari dan akan turun berjumpa penduduk.
Pada pukul 12.40 hanya setengah jam sebelum solat Jumaat bermula dan Datuk Bandar tidak juga turun. Penduduk berang kerana telah dipermain-mainkan. Mereka membawa sepanduk bergerak ke pintu utama untuk masuk. Penguatkuasa DBKL menghalang rempuhan penduduk dan berlaku tolak menolak. Tiga orang penduduk terlepas ke ruang legar bangunan DBKL lalu menjerit menunjuk perasaan meminta Datuk Bandar turun.
Pihak polis campurtangan pada pukul 12.50. Surendren, Sivarasa, Arutchelvan serta wakil penduduk mengadakan perundingan ringkas. Akhirnya, wakil penduduk dan peguam dibenarkan naik ke tingkat atas namun tetap tidak berjaya menemui Datuk Bandar.
Mereka diberitahu oleh wakil DBKL Datuk Bandar tidak akan menemui sesiapa kerana tanah tersebut bukan lagi di bawah kuasa DBKL. Peguam membantah jika DBKL tiada kuasa mengapakah notis merobohkan rumah dikeluarkan DBKL. Wakil penduduk mengambil keputusan menulis nota untuk diserahkan kepada Datuk Bandar dan mengingtakan DBKL jangan melakukan perobohan rumah pada 15 Mac depan atau menghadapi tindakan mahkamah.
Pada pukul 2.00 petang, selepas menyerahkan notis berkenaan peguam menemui penduduk di luar bangunan DBKL memberitahu pihaknya akan mengambil langkah tertentu dari aspek perundangan menjelang tempoh pengusiran.
Menurut Fadiah, DBKL tidak sepatutnya meneruskan pengusiran biar pun menggunakan Ordinan Darurat 1967.
“Memang DBKL ada kuasa di bawah Ordinan Darurat. Boleh roboh. Tetapi jika mereka ingin gunakan ordinan itu mereka tetap perlukan perintah mahkamah bagi menjustifikasikan pengusiran. Tetapi sekarang mereka tidak gunakan cara itu.
“Mereka tidak menggunakan saluran yang sah. Sebaliknya gunakan saluran tidak sah
“DBKL juga kata tidak ada kuasa namun mereka mengeluarkan notis. Ini tidak masuk akal. Bagi saya DBKL punya kuasa untuk tarik balik notis pengusiran. Mereka boleh hentikan perobohan rumah pada 15 Mac,” katanya.
Tambah Fadiah, situasi Ladang Bukit Jalil sama dengan Estet Batu dua minggu terdahulu di mana DBKL memberi akujanji untuk tidak merobohkan rumah.
“Estet Batu dapat jaminan dari DBKL tidak roboh rumah. Kita tidak tahu apa di sebalik perkara ini (Ladang Bukit Jalil). Mungkin ada sesuatu kerana itu mereka tidak dedahkan. Mereka tidak pergi ke mahkamah dedahkan butir-butir kenapa hendak usir penduduk atau sebab apa. Persoalan utama, kenapa mereka tidak mahu pergi ke mahkamah,” bidas Fadiah.
– Sebarang sumbangan berita / kenyataan media / artikel / komen atau pun maklumat boleh dihantar ke: webpakatan@gmail.com.