“Saya tidak tahu apa yang dia cabar atau apa yang dia marahkan,?kata Tony Pua menjawab soalan wartawan Suarapakatandaily mengenai isu pembelian kapal peronda TLDM yang menaikkan emosi Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 10 Mac lalu.
Zahid dalam siaran berita sebuah stesen televisyen mengecam Tony mempersoalkan tindakan Kementerian Pertahanan membeli beberapa buah kapal peronda persisir pantai dengan harga RM6 bilion. Beliau mencabar Tony mendedahkan sebarang maklumat pembelian kapal itu sekiranya berlaku penyelewengan di Kementerian Pertahanan. Bagi Zahid kapal peronda baru adalah keperluan TLDM dan tidak perlu dipersoalkan kosnya.
“Mungkin dia dapat informasi yang salah dalam hal ini. Namun memang ada soalan kepadanya dalam parlimen dalam hal tersebut dari ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng. Saya hendak tanya soalan tambahan pada hari itu (Khamis) tetapi speaker tidak beri izin.
“Jawapan yang diberi oleh Zahid tidak cukup terperinci. Saya belum lagi dapat berucap dalam dewan. Saya mahu bangkitkan soalan mengenai pembelian kapal namun saya hanya ada masa lima minit. Saya tanya kos pembelian kereta perisai RM7.5 bilion. Minggu depan (Isnin) saya akan tanya kos pembelian kapal RM6 bilion itu.
“Cuma saya minta menteri jawab dengan lengkap dalam parlimen bukan cabar saya. Saya tak nak dia cabar, saya nak dia jawab soalan-soalan yang telah dibangkitkan. Saya tidak buat apa-apa tuduhan dalam kenyataan saya. Saya Cuma buat soalan. Minta penjelasan.
“Tetapi menteri jangan beri jawapan seperti dia menjawab soalan YB Segambut. Dia banyak berpolitik. Dia selitkan (selang-seli) jawapan dia kena masuk (lawat) sekolah tadika, kemudian kata DAP dan PAS telah gagal. Apa kena-mengena isu kapal peronda dengan perkara itu. Dia mesti jawab ikut isu,”kata Tony.
Dalam pendedahannya pada 7 Februari lalu, Tony mempersoalkan mengapakah kerajaan Malaysia sanggup membelanjakan sehingga RM6 bilion untuk mendapatkan enam buah kapal peronda pantai. Sedangkan pembelian kapal peronda pesisir pantai oleh Tentera Laut New Zealand hanya bernilai NZ$90 juta (RM210 juta) setiap satu. Israel membayar AS260 juta (RM791 juta). Manakala, kapal kelas Roisin buatan Ireland bernilai AS34 juta (RM103 juta); Super Vita dari Greek bernilai AS$108 juta (RM329 juta); Type 130 dari Jerman (RM572 juta) dan Saar V dari Israel (RM791 juta) setiap satu. Malah, kapal yang paling canggih seperti Littoral (LCS) buatan Amerika Syarikat pun nilainya kurang daripada AS300 juta (RM913 juta) setiap satu.
Menurut Tony lagi, pembelian dalam kos yang tinggi amat membebankan kewangan negara. Kementerian Pertahanan sepatutnya begitu mudah untuk menandatangani kontrak dengan syarikat pembekal kapal, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd ketika suasana ekonomi negara tidak begitu baik.
“Saya perlu bangkitkan perkara ini. Mengapakah kontrak berharga tinggi. Ini isu related party transaction. Sama ada kontrak ditawarkan secara ketelusan untuk bantu tabung sendiri (syarikat yang dimiliki LTAT) oleh itu kita tawarkan harga tinggi? Dan isu ini perlu dijawab oleh menteri
“Kita bukan kata tak perlu beli kapal. Tetapi harganya perlulah berpatutan. Jenis yang kita mampu. Dalam masa haluan ekonomi masih tidak jelas, kerajaan minta kurangkan subsidi dan rakyat menderita kenaikan harga barangan, dengan sekelip mata dia tandatangan kontrak RM6 bilion beli kapal, RM7.55 bilion beli kereta perisai. Isunya di sini kerajaan tidak seimbangkan perbelanjaan (dengan keadaan ekonomi semasa),”kata Tony lagi.
Tambahnya, beliau juga akan menyoal Menteri Pertahanan apakah syarat pembekalan kapal yang dibeli. Mengikut pengalaman lepas pembinaan kapal perang oleh sebuah syarikat tempatan yang diberikan kontrak telah lewat siap dan kosnya meningkat hampir setengah kali ganda.
“Dulu kementerian beri tender membuat kapal (kepada sebuah syarikat) , kemudian lewat siap dan kosnya menjadi lebih tinggi. Saya hendak tanya menteri apakah jaminan kapal ini akan siap dengan harga yang ditentukan dan kos tidak akan naik seperti sebelumnya dari kos asal RM4 bilion kepada RM6.75 bilion. Apakah sistem yang digunakan untuk tidak mengulangi peristiwa tersebut,”jelas Tony.
Ditanya sama ada Menteri Pertahanan menyangka beliau mengetahui sesuatu dalam urusan pembelian itu sebab itu berlakunya cabaran tersebut, Tony menjawab: “Saya tak tahu. Saya cuma minta penjelasan. Dia macam ada makan cili sedikit (rasa pedas).”