Kerajaan Barisan Nasional yang sangat terdesak untuk mengekalkan kuasa di Sarawak menghadapi kebangkitan rakyat kelihatan tidak mampu meneutralkan serangan pembangkang menggunakan isu video seks yang dijaja mereka.
Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata rakyat Sarawak tidak peduli sama sekali mengenai isu video lucah yang kononnya membabitkan Anwar Ibrahim. Sebaliknya, mereka lebih menumpukan kepada isu penyelewengan Ketua Menteri Taib Mahmud selama 30 tahun berkuasa dan bertekad membenamkan regim Taib pada PRN 16 April ini.
“Dari tinjauan selama berkempen di Sarawak isu video seks, jam tangan Omega atau apa pun isu peribadi tidak diperdulikan rakyat Sarawak. Mereka lebih menumpukan penyelewengan Taib Mahmud.
“Oleh itu BN kini amat desperate mengalihkan pandangan dan isu. Mereka memperalatkan isu video seks untuk menimbulkan kecurigaan terhadap Anwar. Tetapi mereka gagal sama sekali,” katanya kepada suarapakatandaily.
Menurut Tian lagi, isu siasatan polis ke atas jam tangan Omega bagi membuktikan Anwar berada di tempat kejadian (hotel) adalah tidak relevan. Hal itu kerana Anwar juga telah membuat laporan polis yang meminta siasatan bahawa dia mempunyai saksi yang cukup bagi mengesahkan beliau berada di tempat lain pada waktu kejadian. Dalam mana-mana kes jenayah bukti alibi adalah mutlak kerana tidak ada manusia boleh berada di dua tempat berasingan dalam satu masa.
“Mereka hendak hidupkan isu yang tidak relevan. Dalam isu ini sepatutnya (setelah Anwar buat laporan) orang yang mengedar video, merakam dan memiliki video itu ditahan dan didakwa. Datuk T perlu ditangkap, bukannya mendapat perlindungan polis.
“Isu ini belum sampai ke tahap Anwar perlu kemukakan bukti alibi pun. Polis kena siasat video itu terlebih dahulu. Kalau ada unsur jenayah dalam filem tersebut barulah dikenal-pasti siapa yang terlibat dan selepas itu barulah Anwar akan mengemukakan alibinya.
“Namun isunya di sini kenapa orang yang membawa video tersebut tidak ditahan dan disoal-siasat. Ini yang menjadikan kes kehilangan arah tuju,” bidas Tian lagi.
Tian yakin rakyat Sarawak matang dan akan melaksanakan revolusi menyingkirkan BN melalui peti undi pada pilihanraya negeri hujung minggu ini.
– Sebarang sumbangan berita / kenyataan media / artikel / komen atau pun maklumat boleh dihantar ke: webpakatan@gmail.com.