Pemuda PAS Pulau Pinang mengumumkan untuk membantu jentera Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil (PRK) P44 Permatang Pauh.
Ketua Pemudanya Mohd Yusni Mat Piah berkata, keputusan itu diambil bagi terus mempertahankan kerusi dimenangi Pakatan Rakyat itu.
Keputusan itu jelasnya dibuat selepas satu mesyuarat tergempar Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang diadakan malam tadi.
“Kami sebulat suara untuk akur arahan PAS Pusat untuk bantu gerak kerja PRK Permatang Pauh,” kata Mohd Yusni pada sidang media di pejabat Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang di Kepala Batas pada Rabu.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Naib Khairil Nizam Khirudin turut hadir dalam sidang media tersebut.
Dalam perkembangan lain, Ahli Jawatan Kuasa (AJK) PAS Pusat, Dr Hatta Ramli menyifatkan isu sebelum ini telah selesai.
PAS katanya kini akan memastikan kerusi Parlimen Permatang Pauh dapat dipertahankan dengan sokongan dan kerjasama oleh sukarelawan PAS tempatan dan luar.
“Isu ini telah diselesaikan, sekarang kita fokus untuk mempertahankan kerusi Permatang Pauh.
“Kita terus akan beri bantuan dan pastikan agar calon pakatan rakyat mencapai kemenangan,” tegasnya dalam satu sidang media berasingan.
Pemuda PAS Pulau Pinang sebelum ini bertegas tidak mahu menyertai gerak kerja Pakatan di Permatang Pauh setelah AMK negeri didakwa mengeluarkan kenyataan mengkritik Datuk Seri Abdul Hadi Awang.