Kenyataan media: Dewan Pemuda PAS Batu Gajah beranggapan Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh akan memberikan manfaat besar kepada PAS.
PRK adalah satu medium yang paling bernilai untuk PAS melebarkan dakwahnya kepada masyarakat melalui gerak kerja kempen pilihan raya.
PAS perlu mengambil peluang ini untuk menyebar risalah perjuangan parti kepada masyarakat dengan memberi contoh-contoh yang terbaik mengikut landasan serta syariat Islam yang sebenar.
Perlu diketahui bahawa di dalam Parlimen Permatang Pauh mempunyai satu-satunya Dun yang dimenangi oleh PAS di Pulau Pinang iaitu Dun Permatang Pasir.
Seharusnya PAS menjadikan PRK kali ini sebagai platform untuk parti memperkuat gerak kerjanya disamping menyegarkan kembali jentera dengan ‘ujian’ melalui PRK ini.
PAS juga boleh menambahkan lagi sokongan rakyat akar umbi kepada parti khususnya di dalam Dun Permatang Pasir, nescaya ia akan memberikan kelebihan untuk PAS menghadapi pilihan raya yang akan datang.
Kita perlu melihat akan kebaikan yang ada melebihi masalah yang melanda, secara tidak langsung memberi gambaran kepada umum bahawasanya PAS lebih berjiwa besar memikirkan maslahat yang lebih penting.
Dengan tidak menggadai prinsip perjuangan, PAS perlu membantu gerak kerja di Permatang Pauh khususnya di Dun Permatang Pasir selaras dengan keputusan PAS Pusat yang diketuai oleh Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Tindakan memboikot secara jelas satu tindakan melanggari keputusan parti yang patut diberi keutamaan untuk dipatuhi.
Pemuda PAS Batu Gajah mengakui betapa tergurisnya kita sebagai anak apabila bapa kita dilukai namun tidak sepatutnya mencampur adukkan dengan kepentingan medan pertempungan melawan musuh.
Teruskan mendesak PKR memohon maaf akan tindakannya, dalam masa yang sama kita tunjukkan tauladan betapa berjiwa besarnya PAS walaupun dilukai.
#TerusBeristiqamah
SYAHRUNNAEM SALEHUDDIN
Pengarah Jabatan Pilihanraya,
Dewan Pemuda PAS Batu Gajah