Ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan adakah Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Tabung Haji membeli tanah Tun Razak Exchange (TRX) milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas perdana menteri menasihatkan tanah berkenaan dijual semula.
Mahfuz yang juga pengerusi Gerakan Selamatkan Tabung Haji berkata, jika perkara itu tidak segera ditangani maka ia akan menjadi contoh yang bakal ditiru dan diulang pemimpin-pemimpin pada masa akan datang.
“Transaksi hartanah 1MDB-Tabung Haji ini dengan jelas menunjukkan perdana menteri Malaysia boleh pada bila-bila masa mempengaruhi proses pembuatan keputusan di Tabung Haji,” katanya pada satu sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.
“Sehari sebelum itu mereka (Tabung Haji) kata mereka tak akan jual balik tanah yang dibeli kepada mana-mana pihak. Tetapi bila dapat panggilan dari perdana menteri, satu panggilan boleh membuat keputusan untuk jual balik tanah tersebut.
“Isunya ialah kalau perdana menteri boleh mempengaruhi, memberi arahan kepada lembaga pengarah untuk menjual semula tanah tersebut, apakah tidak mungkin perdana menteri juga pada awalnya mengarahkan lembaga pengarah untuk membuat keputusan bagi membeli tanah tersebut menyelamatkan keadaan terdesak yang dihadapi 1MDB?” soalnya berhubung transaksi yang menimbulkan kemarahan ramai pihak itu termasuk pemimpin tertinggi Umno.
Mahfuz berkata, dakwaan Najib yang pembelian tanah 1MDB bakal menjana keuntungan lumayan kepada Tabung Haji boleh dipertikaikan kerana katanya, jika begitu keadaannya, tanah itu sejak awal lagi seharusnya dijualkan kepada Tabung Haji.
Katanya, kenyataan Najib itu juga boleh dipersoalkan kerana Tabung Haji membeli tanah 1MDB dengan harga luar biasa mahal berbanding tanah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
“Langkah menjual tanah seluas satu setengah ekar di TRX kepada Tabung Haji pada harga luar biasa tingginya ialah satu tindakan terdesak bagi menjana tunai secepat mungkin, menyelamatkan 1MDB daripada dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak bank.
“Untuk tanah seluas satu setengah ekar, Tabung Haji membayar RM188.5 juta tunai, tidak seperti amalan biasa di mana pembeli membayar 10-20% wang pendahuluan dan selebihnya selepas segala urusan perundangan dan transaksi dimuktamadkan.
“Gerakan ini berpendirian, Tabung Haji perlu diselamatkan daripada menjadi mangsa puak yang menyalahgunakan kuasa dan yang dilihat tidak berminat menjaga kebajikan penabung,” katanya.
Najib semalam berkata, Tabung Haji membeli tanah milik 1MDB itu sebagai satu pelaburan, dan bukannya “bailout”, kerana Tabung Haji boleh memperoleh keuntungan sehingga lebih RM170 juta melalui pembelian itu.
Namun, memandangkan perkara itu dijadikan isu kontroversi, beliau menasihatkan Tabung Haji menjual tanah berkenaan.
Najib berkata, melalui penjualan semula aset berkenaan, Tabung Haji boleh mendapat keuntungan sehingga RM5 juta hingga RM6 juta, namun pada masa sama, merugikan pendeposit kerana jika aset itu tetap milik Tabung Haji, pendeposit boleh untung sehingga RM170 juta.