Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menjelaskan bahawa beliau sudah berfikir selama dua tahun untuk memasuki Parti Tindakan Demokrasi (DAP).
Beliau menolak tanggapan sesetengah pihak keputusan untuk menyertai parti itu dibuat kerana sentimen membantah tindakan PAS menamatkan tahaluf siyasi bersama DAP dan memporak perandakan PR.
Katanya, langkah menyertai DAP adalah untuk menggalakkan lebih banyak kaum Melayu dan budayawan tanah air menyertai parti itu pada masa depan.
“Saya ingin lebih ramai orang Melayu sertai DAP. Untuk apa kita mengelak sedangkan parti politik lain sudah terbabas daripada prinsip perjuangan asal mereka,” kata Pak Samad ketika dihubungi suarapakatandaily.
Katanya lagi, perjuangan politik sejak kebelakangan ini lebih lantang dan mempengaruhi masyarakat berbanding dunia sastera.
“Bagi saya, amat menguntungkan apabila orang seni itu menceburi politik dengan niat untuk memperbetulkan keterlanjuran yang sedang berlaku dalam masyarakat (daripada hanya berkarya),” jelasnya.
Menurut bekas pengarang akhbar Berita Harian dan The New Straits Times itu, sejarah telah membuktikan sastera merakamkan politik dan saling berkait rapat antara satu sama lain. Oleh itu, tidak asing sekiranya sasterawan atau budayawan menceburi dunia politik.
“Tiada salahnya penggiat sastera turun ke bidang politik kerana bidang itu lebih lantang dan suara mereka (penggiat seni) akan lebih didengar,” tegas Pak Samad.
Ketika ditanya mengenai perancangan masa hadapan bersama DAP, beliau berkata akan terus memberikan pandangan atau unjuran yang lebih bernas terhadap situasi zaman, bahkan, akan terus melibatkan diri secara aktif memberi sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap parti itu.
Pada 2009 yang lalu, Pak Samad terlibat secara langsung dalam kempen Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang menentang Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Beliau juga ikon dalam memimpin Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) anjuran Pakatan Rakyat (PR).
Semalam, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, menerima penyertaan Pak Samad di dalam sebuah majlis penyerahan rumah bantuan mangsa banjir DAP di Gua Musang, Kelantan.