Sekumpulan mahasiswa yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Langkah Siswa’ mengadakan protes aman dengan berjalan kaki dari Bank Negara Malaysia ke bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.
Ini bagi menyatakan rasa tidak senang dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dilaporakan tidak lagi mahu membincangkan isu pindahan dana RM2.6 bilion ke akaun peribadinya secara terbuka kepada rakyat negara ini.
“Semalam menurut laporan media tempatan Datuk Seri Najib dikatakan hanya bersedia membincangkan isu kontrovesi derma RM2.6 bilion secara tertutup kepada ahli Umno sahaja berbanding membincangkannya secara terbuka dengan rakyat Malaysia kerana bimbang akan beri kesan kepada Umno.
“Ini sangat mengecewakan dan sama sekali tidak boleh diterima,” kata koordinator kumpulan itu, Lau Yi Leong.
Menyifatkan tindakkan Najib itu sebagai hanya berminat untuk menyelamatkan parti politik yang diterajuinya berbanding kepentingan rakyat negara ini, lau berkata Najib kini tidak lagi layak menjawat jawatan perdana Menteri.
“Tidak boleh diterima bagaimana bagaimana kenyataan itu boleh dikeluarkan Najib, seharusnya dia bertindak bukan hanya untuk menyelamatkan Umno, sebaliknya perlu bertanggungjawab kepada seluruh rakyat malaysia.
“Dengan tindakannya itu, ini menunjukkan dia tidak sesuai lagi jadi perdana menteri,” tegasnya.
Sehubungan itu, Lau menambah, kumpulan itu kini mahu Najib dengan segera melepaskan jawatan dipegangnya.
Mereka turut mendesak hasil siasatan pihak berkuasa terhadap skandal syarikat pelaburan strategik sarat hutang 1MDB melibatkan perdana menteri didedahkan kepada umum selain mahu satu rundingan diantara mahasiswa dan Ahli Parlimen diadakan bagi membicangkan pembentukan kerajaan peralihan yang perlu dilakukan dalam kadar segera demi menyelamatkan negara.