KENYATAAN MEDIA: Setahun-dua kebelakangan ini, PAS menghadapi satu perubahan tindakan dan suasana dalamannya hingga menyebabkan keadaan menjadi tidak tenteram.
Pertembungan dalaman sudah menjadi barah yang tidak lagi mampu diubati apabila berlaku hingga ke tahap yang sangat mendukacitakan.
Perbalahan aliran pemikiran ini dilihat tidak dikawal dengan sebaik mungkin oleh kepimpinan tertinggi hingga merebak ke peringkat bawahan.
Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini menatijahkan ‘kejayaan’ terhadap ‘perancangan’ dilakukan oleh sekumpulan tertentu yang telah membuat seruan untuk menolak sekelompok pimpinan.
Tindakan-tindakan serta pendekatan PAS juga dilihat mengundur ke belakang termasuklah memutuskan kerjasama Tahaluf Siyasi dengan Pakatan Rakyat sedangkan pimpinan sebelum ini telah bersusah payah membawa PAS ke landasan terbaik di arena politik negara.
Ini adalah dorongan terhadap wujudnya satu gerakan iaitu Harapan Baru dan seterusnya muncullah satu parti Islam baharu dalam meneruskan perjuangan pimpinan PAS terdahulu.
Parti Amanah Negara yang mengambil alih Parti Pekerja-Pekerja Malaysia tertubuh, dasarnya mirip dengan PAS iaitu Islam cumanya berbeza dari sudut pendekatannya semata-mata.
Parti Islam ini mengambil peranan yang ditinggalkan PAS untuk meneruskan harapan rakyat dalam membentuk satu kerajaan baharu menggantikan BN yang memimpin dengan tidak bertanggungjawab hingga jauh daripada keredhaan Allah.
Parti Amanah Negara memikirkan kemaslahatan yang lebih besar dalam menghapuskan kebathilan yang berlaku di dalam negara ini melalui kuasa pemerintahan.
Saya mengambil perkiraan dengan penuh teliti melihat kepada pelbagai aspek dan saya membuat keputusan untuk menyertai wadah baharu ini sesuai dengan naluri perjuangan yang telah didokong sekian lama.
Parti Islam baharu ini juga telah menarik minat ramai individu yang antara menjadi pengasas dan penggerak utama PAS di Batu Gajah.
Turut mengikut jejak langkah menyertai Parti Amanah Negara adalah Haji Ibrahim Malik, seorang pengasas awal PAS Kawasan Batu Gajah.
Kami komited untuk menggerakkan wadah baharu ini tanpa menjadikan PAS sebagai musuh tetapi mahu masing-masing berlumba membuat amal kebajikan menuju kepada matlamat yang sama.
Kami telah mengadakan pertemuan serta mesyuarat membentuk jawatankuasa di peringkat parlimen Batu Gajah dan telah bersetuju untuk mengadakan majlis Pelancaran Parti Amanah Negara Parlimen Batu Gajah pada tarikh yang akan diberitahu kelak.
CIKGU OMAR BIN BAKAR adalah Ketua Parlimen Parti Amanah Negara Batu Gajah.