Perkembangan terkini di kalangan parti serpihan pembangkang dalam negara banyak mengelirukan dan mengecewakan ramai pihak tetapi sumber dalaman parti menegaskan mereka perlu gabungan alternatif baharu yang akhirnya boleh menewaskan Barisan Nasional (BN).
Rasa tidak percaya dan kecewa ialah terhadap pengumuman PAS akan dijemput menyertai gabungan baharu itu.
DAP dan parti Islam baharu, Amanah menyalahkan pemimpin konservatif PAS kerana memecahkan Pakatan Rakyat dan 2 parti itu sebelum ini ada berkata, tidak terfikir untuk mengajak mereka menyertai gabungan baharu.
Kurang kontroversi tetapi cukup menarik ialah kemasukan bekas pemimpin PAS Datuk Kamaruddin Jaafar dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke dalam PKR.
Walaupun 2 ahli politik veteran itu akan menaikkan PKR, pemimpin PKR dan Amanah berkata mereka akhirnya akan membantu mengekalkan gabungan baharu asalkan ia mempunyai parti berbeza ideologi (PAS dan DAP) dan kumpulan di mana pemimpin bertelingkah pada masa dulu (PAS dan Amanah).
Bagaimanapun, penganalisis politik Dr Wong Chin Huat agak skeptikal mengenai sama ada PKR, DAP dan Amanah boleh benar-benar bekerjasama dengan PAS, memandangkan kisah silam dan persaingan masa depan antara PAS dan Amanah.
Wong yang juga ketua penganalisis sosial dan politik Institut Pulau Pinang berkata, kanun acara jenayah syariah PAS atau hudud juga menjadi penghalang besar. Jika gabungan baharu tidak dapat menyelesaikan masalah itu, maka gabungan baharu akan berdepan masalah sama seperti pakatan lama.
Sentimen Wong dikongsi beberapa pemimpin dalam PKR yang masih cuba mencari alasan wajar mengapa pemimpin tertinggi parti menjemput PAS.
Ini kerana dengan berbuat demikian akan menyebabkan kemarahan bagi Amanah, yang ditubuhkan bekas ahli Parlimen PAS dan DAP, serta DAP yang menjadi tempat pergantungan PKR untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu.
“Semua kerusi di Selangor misalnya akan terancam kerana mereka mempunyai populasi besar bukan Islam yang marah dengan PAS. Agak tidak logik untuk menyokong PAS walaupun DAP dan Amanah membantah,” kata pemimpin PKR yang enggan namanya disiarkan.
Malah, jika diletakkan ke tepi perbezaan pendapat mengenai hudud PAS, Wong berkata tidak realistik untuk melihat Amanah dan PAS bekerjasama dengan ikhlas kerana mereka mungkin akan bertelingkah mengenai kerusi yang dipertandingkan.
“Siapa dapat kekalkan kerusi yang sebelum ini ditandingi PAS (dan kini dipegang ahli Parlimen Amanah) di Selangor, Kelantan, Kedah dan Perak?
“Jika PAS mengalah melepaskan kerusi berkenaan, ia akan meletakkan parti di kedudukan lebih lemah dan terasing,” katanya.
Pemimpin seperti Naib Presiden PKR Tian Chua, yang kembali bekerjasama dengan PAS, berhujah perbezaan itu boleh dan perlu diselesaikan. Tetapi lebih bahaya untuk meninggalkan PAS daripada gabungan itu dan biarkan mereka bertanding menentang semua orang.
Senario mimpi ngeri itu akan menyaksikan perlawanan banyak penjuru antara PAS, pakatan alternatif baharu dan BN, yang akan hanya memberi manfaat kepada barisan pemerintah, katanya.
Beliau berkata, apa yang lebih penting berbanding pilihan raya umum akan datang ialah untuk memastikan polisi BN dalam tempoh beberapa bulan ini. Ini termasuk pindaan undang-undang untuk mengetatkan penggunaan media sosial, pelantikan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan bajet tahunan.
“Kita perlukan sokongan PAS jika kita mahu tahu mengenai perkara ini daripada BN. Perkara ini adalah alasan rakyat mengundi kita, bukan hanya bertengkar mengenai siapa Islam dan siapa sekular,” katanya.
Malah, bekas orang PAS dalam Amanah seperti Khalid Samad juga melihat keperluan mengetepikan perbezaan ideologi untuk menewaskan BN dan itu termasuk bekerja dengan PAS.
PAS boleh menyertai gabungan baharu dengan syarat ia akan menghadiri mesyuarat dan bersetuju untuk melaksanakan keputusan kolektif yang dibuat semua rakan kongsi, kata Khalid.
“Saya masih skeptikal mengenai penyertaan PAS. Tetapi pendirian Amanah ialah kita perlu ada gabungan yang kuat untuk menewaskan BN dan semua kekuatan yang kecil pun amat membantu,” katanya.
Bagaimanapun, Wong memberi amaran terhadap perbezaan ideologi sebagai gabungan yang tidak sehaluan boleh menyebabkan mereka berdepan masalah serupa seperti dalam pakatan lama, jika memenangi Putrajaya.
Tambahan terbaru dalam PKR, Kamaruddin dan Muhammad dijangka melancarkan proses berbaik-baik antara PAS, Amanah dan DAP untuk gabungan baharu.
Kedua-duanya diharapkan keluar PAS dan menyertai Amanah tetapi Khalid berkata selepas beberapa perbincangan, ia diputuskan mereka akan memberi lebih banyak sumbangan kepada pakatan baharu pembangkang dengan menjadi ahli PKR.
“Mereka juga boleh bantu menguatkan lagi ikatan antara Amanah dan PKR memandangkan mereka tahu bagaimana kami berfikir dan beroperasi,” kata Khalid.
Pada masa sama, datang daripada PAS dan bercakap dengan parti itu akan lebih mudah menerusi platform PKR, kata Tian Chua, berbanding dari dalam Amanah.
“Jika mereka guna Amanah sebagai platform, ada rasa tidak selesa dengan PAS. Jika anda daripada PAS, maka susah nanti untuk bercakap dengan DAP,” kata Tian Chua, menambah peranan itu biasanya sesuai dengan fungsi PKR sebagai pendamai dalam gabungan pembangkang.
Kamaruddin dijangka membantu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk berunding dengan ketiga-tiganya sementara Muhammad untuk membantu pentadbiran Selangor.
Akhirnya, pelarasan semula yang baharu ini menyasarkan terhadap Melayu, kata Tian Chua, yang memerlukan jaminan tambahan jika mereka buang Umno, gabungan baharu akan jaga mereka.
“Realitinya ialah Melayu tahu betapa teruknya Umno. Tidak perlu meyakinkan mereka lagi mengenai perkara itu. Tetapi mereka tidak boleh percaya gabungan baharu jika Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak ada di situ dan PAS tiada untuk bercakap bagi pihak mereka.
“Mereka tahu Umno jahat tetapi mereka tidak akan percaya kita jika kita tidak dapat meyakinkan mereka kita akan jaga semua orang,” katanya.