Pakatan Harapan dalam bajet alternatif mereka meletakkan lebih banyak wang dan projek bagi membantu Malaysia Timur serta subsidi untuk penanam padi.
Mengikut belanjawan alternatifnya, jika Pakatan Harapan berkuasa, mereka akan terus memberi bantuan wang tunai kepada golongan miskin tetapi dengan syarat. Bagaimanapun, belanjawan Pakatan Harapan bukanlah populis sebagaimana Bajet BN yang tidak jelas arah tuju jangka panjang mereka.
Penganalisis dan pakar dalam laporan laman perniagaan Bloomberg menyifatkan peruntukan Putrajaya sebanyak RM267.2 bilion bagi 2016 sebagai pemberian bertujuan mengambil hati penduduk luar bandar dan miskin, yang dikenal pasti BN sebagai kumpulan untuk mendapatkan sokongan.
Pelan yang dianggap populis termasuk menaikkan gaji minimum, pengecualian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi bahan makanan dan pertambahan pemberian wang tunai di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Ia juga digelar bajet pilihan raya kerana kenaikan gaji turut diberikan kepada kakitangan awam di samping program di Malaysia Timur seperti skim membina rumah panjang.
Namun, bajet Pakatan Harapan mempunyai cadangan yang lebih bercita-cita tinggi untuk Malaysia Timur.
Ia berjanji memberikan 20% royalti minyak dan gas kepada Sabah dan Sarawak dan separuh daripada hasil itu dimasukkan ke dalam dana sumber diilhamkan daripada Kumpulan Wang Pencen Norway yang terkenal di dunia.
Pembangkang memperuntukkan RM1 bilion membangunkan bandar pertengahan di Malaysia Timur dan RM1 bilion bagi biasiswa universiti bersyarat.
Mereka juga akan membina laluan kereta api menghubungkan Kota Kinabalu ke Kuching dengan mengalihkan dana daripada projek Keretapi Laju Singapura-KL yang akan dibatalkan.
Antara kandungan bajet Pakatan Harapan ialah memperbaharui skim subsidi beras semasa dengan mengarahkan dana yang kini diberi kepada pengilang untuk penanam padi itu sendiri.
Di Semenanjung Malaysia, Pakatan Harapan akan memperbaharui skim subsidi beras semasa dengan mengarahkan dana yang kini diberi kepada pengilang untuk penanam padi itu sendiri.
Yang terbesar, dan cadangan paling berpotensi serta paling popular adalah menetapkan GST pada sifar peratus, yang mungkin memberi faedah kepada isi rumah berpendapatan rendah.
Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen, sebahagian daripada jawatankuasa penggubalan bajet Pakatan Harapan, menyangkal dakwaan cadangan mereka adalah populis.
Beliau berkata, ia adalah sebahagian falsafah bajet Pakatan Harapan, iaitu untuk merapatkan ketidaksamaan sosio-ekonomi.
“Tumpuan kami di Malaysia Timur kerana mereka adalah 2 sumber terbesar minyak dan gas tetapi mereka tidak mendapat pulangan yang adil daripada hasilnya,” kata Wong.
“Malaysia Timur dan kawasan luar bandar tidak mendapat bahagian sama dengan kawasan lain di Malaysia.”
Menetapkan GST pada sifar, kata beliau, adalah perlu untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah dan peniaga melepasi kemelesetan ekonomi yang diramalkan Pakatan Harapan akan berlaku tahun depan.
“Ini tidak bererti langkah populis tetapi satu keperluan,” kata Wong daripada PKR.
Sesuatu dasar akan dianggap populis jika tiada rasional selain cubaan terang-terangan untuk membeli undi, kata seorang lagi anggota jawatankuasa bajet Pakatan Harapan, Dr Ong Kian Ming.
Kota Kinabalu di Sabah akan dihubungkan dengan keretapi dengan Kuching, menurut bajet Pakatan Harapan yang berkata dana projek tersebut boleh didapati daripada projek keretapi laju Singapura-KL yang akan dibatalkan.
Rasional keretapi di Malaysia Timur adalah memberi kelebihan kepada ekonomi Sabah dan Sarawak berbanding Keretapi Laju Singapura-KL kata Ong, yang juga ahli Parlimen Serdang.
Biasiswa pendidikan pula hanya akan diberikan kepada pelajar Malaysia Timur paling cemerlang dengan syarat mereka kembali bekerja di Sabah dan Sarawak selepas menamatkan pengajian, kata Ong.
“(Ia) adalah untuk menangani masalah kekurangan modal insan di Sarawak dan Sabah dan hakikat ramai yang berbakat daripada (Malaysia Timur) datang bekerja di KL dan Singapura daripada balik ke kampung halaman,” katanya.
Persepsi terdapat “double standard” apabila menyentuh dasar BN dan Pakatan Harapan adalah disebabkan hakikat terdapat kurangnya kepercayaan terhadap parti pemerintah, katanya.
Keraguan mengenai sama ada BN benar-benar akan mengotakan janji manis yang dibuat juga adalah bukti apabila meneliti butiran bajet.
Wong menegaskan, walaupun ia banyak kedengaran, semua bantuan dalam bajet Putrajaya berjumlah kira-kira setengah bilion, merupakan peratusan kecil daripada jumlah keseluruhan RM267.2 bilion.
Apabila ia menyentuh Lebuhraya Pan Borneo, kata Ong, ia dijangka menelan kos sekurang-kurangnya RM16 bilion, tetapi peruntukan bagi projek itu hanya RM800 juta daripada Jabatan Perdana Menteri.
“BN banyak berjanji sejak 50 tahun negara merdeka dan menyerahkan hanya peratusan yang sangat kecil daripada apa yang mereka janjikan,” katanya.