Jaminan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Mustapa Mohamed pada 7 November lalu bahawa harga ubat-ubatan tidak akan meningkat apabila Malaysia menyertai Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) adalah sangat mengelirukan.
Hal itu berikutan persetujuan negara untuk menerima pemanjangan tempoh paten ubat-ubatan yang kebanyakannya dimiliki oleh syarikat Amerika Syarikat menghalang negara menghasilkan ubat generik yang lebih murah.
Demikian kenyataan media yang dikeluarkan oleh tiga ahli parlimen Nurul Izzah Anwar, Dato’ Takiyuddin Hassan dan Dr Michael Jeyakumar Devaraj mengenai paten ubat-ubatan dan TPPA:
Pada 7 November lepas, Datuk Seri Mustapha Mohamed memberi jaminan kepada rakyat Malaysia yang Perjanjian Perkongsian Trans-pasifik tidak akan memberikan kesan kepada kos ubat-ubatan di Malaysia.
Beliau juga menolak andaian dan kebimbangan yang perjanjian tersebut akan membenarkan sambungan kepada paten-paten bagi ubatan, melabelkannya sebagai “salah faham” semata-mata.
Ingin kami tegaskan, kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tersebut amat tersasar sama sekali.
Kerajaan Malaysia, bersama-sama 11 negara lain dalam perjanjian yang diketuai oleh Amerika Syarikat telah bersetuju untuk:
i) Memanjangkan tempoh paten
ii) Sebuah tempoh minimum 5 tahun untuk ubatan yang dikategorikan sebagai ‘biologics’
Ini menunjukkan TPP merupakan sebuah perjanjian yang amat buruk sekali.
Amat buruk bagi ubat-ubatan dan mereka yang memerlukan ubatan yang mampu dimiliki.
Teks perjanjian tersebut memberikan dua pilihan: sama ada perlindungan data klinikal selama 8 tahun, atau; sekurang-kurangnya 5 tahun perlindungan data termasuk menghalang cara lain untuk menghasilkan hasil yang sama ke dalam pasaran.
Ini memberikan ruangan kepada Amerika Syarikat untuk terus menekan negara-negara untuk menggunakan penangguhan dengan kuasa undang-undang untuk menghalang ubat-ubatan yang murah daripada masuk ke pasaran dalam sebuah tempoh masa yang tertentu. Apa mekanisma yang digunakan sekalipun, hasilnya tetap sama, iaitu peningkatan kos dan tempoh menunggu yang lebih lama.
Pada masa ini Malaysia tidak membenarkan sebarang paten ke atas ‘biologics’. Tetapi sekarang, kerajaan telah bersetuju bagi 8 tahun untuk ubatan seperti ini, dan bukannya 5 tahun seperti yang dibanggakan oleh Pak Menteri.
Ini juga diperakui oleh Timbalan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Robert Holleyman dalam ucapan beliau tidak lama dahulu.
Melihatkan keadaan pemanjangan tempoh paten ini telah dirundingkan, ianya akan membuatkan ubat-ubatan akan datang lebih mahal, oleh kerana rakyat marhaen tidak mampu untuk membeli ubatan generik yang lebih murah.
Tambahan, ubatan lama yang dimodifikasi juga boleh dipaten di bawah TPP.
Setiap permohonan penyambungan paten ini boleh meningkat ke sehingga 20 tahun, yang akan membuka ruang untuk ‘patent evergreening’, walaupun perkara ini dinafikan oleh Pak Menteri.
Pada ketika ini, rakyat Malaysia semakin lemas dengan peningkatan kos sara hidup. Kos ubat yang amat mahal sekali juga merupakan sebuah faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku.
Pada ketika ini, harga ubatan yang terpaksa dibayar oleh rakyat Malaysia adalah kira-kira 148.28% lebih tinggi berbanding dengan ubatan yang sama yang dijual di Australia.
Ini adalah kerana Malaysia tidak mempunyai polisi kawalan harga ubatan, menyebabkan harga yang dijual di sektor swasta tidak terkawal sama sekali.
Walaupun kerajaan telah berkata TPP tidak membenarkan penyambungan paten, kenyataannya dengan membenarkan paten ke atas ‘biologics’ kerajaan langsung tidak mengambil peduli akan kepentingan perubatan yang mampu diakses oleh kesemua rakyat Malaysia.
Sehingga ke hari ini, kerajaan masih lagi gagal untuk membuat sebuah kajian impak harga ubatan yang tinggi ke atas rakyat Malaysia kelas pertengahan dan pekerja.
Lebih teruk lagi, kerajaan Malaysia pimpinan UMNO dengan jelas mengikut permintaan Amerikan Syarikat dengan membenarkan syarikat-syarikat farmaseutikal ruang untuk menyambung paten, dengan mengorbankan kehidupan rakyat Malaysia.
Sebagai ahli-ahli kokus TPP, kami menggesa Menteri untuk berterus-terang dan memberi penjelasan mengapa kerajaan bersetuju dengan penyambungan ini, supaya kesemua rakyat Malaysia boleh bersiap sedia menghadapi kematian sekiranya kita tidak mampu untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Kami juga menggesa kerajaan supaya kembali ke meja rundingan dan membatalkan persetujuan untuk membenarkan paten ke atas ‘biologic’ dan penyambungan paten ubatan, supaya harga ubatan dan ‘biologic’ kekal mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan raya Keadilan
Dato’ Takiyuddin Hassan
Ahli Parlimen Kota Bharu
Dr Michael Jeyakumar Devaraj
Ahli Parlimen Sungai Siput