Anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Ismail, Tawfik Ismail berkata bapanya akan kecewa jika mengetahui Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dirangka beliau selepas rusuhan kaum di Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969, dijadikan tongkat oleh kaum Melayu untuk selama-lamanya.
Tawfik berkata, DEB bertujuan untuk menangani punca keganasan – pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketidaksamaan sosial antara kaum – tetapi menegaskan bapanya tidak pernah bermaksud untuk meneruskan dasar itu selama-lamanya.
“Ayah saya melihat DEB seperti permainan golf. Anda perlukan handicap untuk membolehkan orang mengejar, tetapi selepas itu, anda perlu menghapuskan handicap.
“Beliau adalah seorang ahli sukan, jadi beliau memahami dengan baik,” katanya dipetik The Malaysian Insider.
Beliau berkata, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, di sisi lain, mempunyai pandangan sangat berbeza mengenai kelemahan kaum Melayu dan keperluan mereka untuk mendapatkan bantuan jangka panjang.
“Dr Mahathir bukan seorang ahli sukan. Beliau tidak faham apa itu handicap. Beliau fikir handicap adalah untuk selama-lamanya.
“Beliau fikir orang Melayu dilahirkan untuk bergantung kepada parti dan sistem selama-lamanya.
“Tetapi kita, orang Melayu, perlu keluar daripada pemikiran seperti itu, untuk mencari satu paradigma baharu, untuk membentuk semula sejarah,” katanya lagi.
Selain itu, Tawfik juga berkata, bapanya akan “sangat kecewa” dengan keadaan negara hari ini, memetik perbezaan kaum, menggunakan agama untuk mengawal majoriti orang Melayu, dan penggunaan Dasar Ekonomi Baru secara berterusan, sebagai sebahagian daripada isu utama bertentangan dengan kepercayaan Tun Dr Ismail.