Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pentadbiran PM Najib Razak telah gagal sepenuhnya dan tidak boleh diteruskan demi mengelakkan negara terjerumus ke jurang kehancuran.
Dalam satu warkah dari penjara, Anwar menegaskan telah berlaku kesedaran meluas rakyat yang perlu disambut oleh pimpinan politik agar melakukan reformasi tulen ke atas sistem pemerintahan.
“Kita sudah sampai ke peringkat di mana terdapat kesedaran meluas menuntut perubahan.
“Pimpinan Perdana Menteri Najib Razak dan sistem pemerintahan yang gagal mengendali permasalahan kritikal ekonomi Negara.
“Terakhir kita perhatikan kedudukan ekonomi tambah gawat dan buktinya adalah dengan keperitan hidup rakyat.
Harga barang keperluan asas meningkat dan perlaksanaan GST bercelaru dan membebankan,” katanya.
Anwar seterusnya membidas syarikat kroni BN yang terus menerus mengaut keuntungan di tengah-tengah kemuraman ekonomi dan peningkatan kos hidup. Katanya, keadaan itu perlu dihentikan sebelum kewangan rakyat menjadi tenat.
“Kerajaan BN-UMNO tidak sanggup melakukan sebarang tindakan berkesan untuk mengurangkan beban rakyat. Umpamanya dengan penurunan harga minyak, kadar letrik milik IPP-kroni tidak diturunkan.
“Untung mereka meningkat ratusan juta ringgit setahun. Tetapi rakyat terpaksa membayar kadar yang tinggi.
“Justeru itu, saya menggesa rakan-rakan dalam Keadilan, Pakatan Harapan dan NGO-NGO untuk terus gigih menuntut reformasi sepertimana kita perjuangkan selama ini,” katanya lagi.