Pakatan Rakyat (PR) sebulat suara menolak sistem pengesahan pengundi berasaskan biometrik yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya di mana penggunaannya dibayangkan akan berkuat kuasa pada pilihanraya ke-13 akan datang.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Dr Hatta Ramli, Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli dan Setiausaha Antarabangsa DAP Liew Chin Tong, sekretariat PR menolak sistem yang dicadangkan kerana tidak efisen kos, sukar dilaksanakan dan tiadanya proses timbang tara dari kalangan parti-parti yang bertanding.
“Bagi kami cadangan sistem biometrik hanya akan menambahkan masalah; bukannya menyelesaikan pelbagai penipuan yang berlaku selama ini. Kosnya pula menelan belanja ratusan juta ringgit dan akan membebankan rakyat yang sudah pun berhadapan dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi.
“Mereka yang biasa dengan pelaksanaan sistem biometrik dan sistem komputer yang melibatkan seluruh negara dan jutaan rakyat Malaysia tahu bahawa sistem sebegini akan berhadapan dengan pelbagai masalah teknikal dan risiko keselamatan sistem. Maka tidak hairanlah SPR tidak boleh memberi komitmen sama ada ia boleh dilaksanakan menjelang PRU13; kerana mereka sendiri sedar ia akan mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan.
“Lebih penting lagi adalah ketidakupayaan sistem biometrik menghalang pengundi hantu dan pengundi berulang kali kerana ia dibina berdasarkan pendekatan yang salah; iaitu setiap yang mempunyai kad pengenalan adalah pengundi yang sah. Ini akan membolehkan ramai pendatang asing yang diberikan kad pengenalan mengundi dalam PRU13,” kata kenyataan bersama itu.
Bagi mereka, pendirian beberapa pihak yang mempersoalkan kewarasan dan kebijaksanaan cadangan itu amatlah tepat. Apatah lagi apabila penyelesaian sedia ada melalui penggunaan dakwat kekal lebih mudah, murah dan berkesan serta dipraktikkan di banyak negara .
“Bukan sahaja sistem biometrik mahal dan memakan masa untuk dilaksanakan, kita juga khuatir ia akan melambatkan proses membuang undi pada hari pengundian yang akan mengurangkan kecenderongan pengundi keluar mengundi.
“Sistem biometrik akan menghapuskan proses timbang tara (melalui penyertaan ejen mengundi/polling agent dan ejen pengiraan/counting agent dalam proses membuang undi) sedia ada yang memberi ruang kepada parti-parti politik memainkan peranan memastikan pilihanraya adalah adil dan saksama.
“Apabila tanggungjawab dan kuasa (sekarang ini di tangan ejen mengundi dan ejen pengiraan) untuk menyemak pengundi dan memastikan proses pengiraan adalah adil dipindahkan sepenuhnya kepada sebuah sistem komputer, parti-parti politik tidak ada peluang untuk memeriksa, menyemak dan memainkan peranan dalam proses pembuangan dan pengiraan undi.
“Kewujudan peluang ini sebagai proses timbang tara adalah ciri-ciri utama sebuah pilihanraya yang bersih dan adil. Makanya, sebarang langkah yang berhasrat untuk menghapuskan penglibatan parti-parti politik sebagai timbang tara adalah bertentangan dengan kehendak rakyat yang disuarakan melalui BERSIH2.0,” tambah mereka.
Sehubungan itu, mereka menyeru agar SPR kembali kepada 8 tuntutan yang disuarakan melalui BERSIH 2.0 terutamanya penggunaan dakwat kekal kerana langkah itu adalah berkesan, murah dan memberdayakan peranan parti-parti politik.
Sistem pilihanraya di Malaysia memerlukan reformasi keseluruhan, bukannya pindaan-pindaan kecil yang akan menelan belanja ratusan juta tetapi menimbulkan pelbagai masalah baru yang menyemarakkan kemarahan rakyat.