Putusnya tahaluf siyasi antara Pas dan PKR dan keengganan 3 exco Pas melepaskan jawatan di Selangor tidak menggugat sokongan ahli-ahli perniagaan kepada pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.
Demikian disuarakan oleh seorang peniaga E. C. Tan dari Petaling Jaya. Beliau yang bergiat dalam sektor hartanah terus yakin ekonomi Selangor tidak akan terjejas dengan kemelut yang ditimbulkan Pas.
“Situasi kestabilan di negeri Selangor bukanlah satu tanda soal. Sebenarnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Selangor adalah stabil tetapi adakah adegan setengah-setengah YB PAS di Selangor satu permainan politik?” kata beliau kepada Suara pakatan daily.
Bagaimanapun, Tan berkata, kerajaan PH di Selangor telah terbukti berjaya menguruskan negeri tersebut dengan baik. Justeru itu, golongan usahawan di Selangor akan memberi sokongan penuh kepada PH dalam Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14).
“Hanya orang BN sahaja yang sengaja tidak puas hati (menimbulkan pelbagai spekulasi) dengan pentadbiran Selangor di bawah pimpinan MB Azmin Ali. Pada keseluruhannya rakyat Selangor yakin terhadap Azmin,” tambah Tan yang memberitahu kini di Selangor terdapat pelbagai kemudahan yang memberi manfaat kepada rakyat, contohnya perkhidmatan bas percuma yang pastinya menjadi pertimbangan utama pengundi memilih semula PH.
Selain itu, Tan berkata, masalah baharu yang cuba ditimbulkan mengenai buku ‘Becoming Hannah’ yang ditulis oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh adalah satu langkah pihak musuh untuk menggugat kestabilan DUN Selangor dan ini menunjukkan PRU14 sudah dekat.
“Pihak musuh akan menggunakan pelbagai taktik untuk menjejaskan nama baik Selangor dan Pulau Pinang. Amat jelas negara kita di bawah pentadbiran BN semakin hilang hala tuju, hilang daya saing, hilang objektif serta hilang nilai-nilai yang murni yang dipupuk sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
“Dan PM kita ini tidak berani bubar Parlimen sehinggalah banyak lagi program (event) diadakan oleh beliau dengan tujuan untuk meraih sokongan rakyat.
“Namun saya pikir PRU14 adalah pada tahun ini,” tambah Tan yang menegaskan kali ini Tun Dr. Mahathir Mohamad dan PH mesti menang pilihan raya umum untuk menjamin masa depan rakyat dan negara.