Walaupun media arus perdana asyik menguar-uarkan ekonomi negara berkembang pesat, namun keadaan dalam kalangan rakyat marhaen Malaysia adalah sebaliknya.
Tinjauan Suara pakatan daily ke atas seorang pemandu teksi, Gopalsamy, 70 tahun, yang memandu teksi di kawasan Kepong, Kuala Lumpur mendapati bertambah miskin hari ini berbanding 2 tahun lalu.
Katanya, akibat kenaikan kos banyak warga emas secara sukarela menghantar cucu-cucu mereka ke sekolah kerana ibu bapa tidak lagi mampu membayar tambang bas.
“Saya tengok wargamas berusia 60 atau 70 tahun memandu kereta usang membawa cucu-cucu mereka ke sekolah yang berdekatan.
“Hari ini juga, saya nampak pemilik kereta yang besar-besar sedang makan di kedai kopi Cina.
“Mana ada perkara seperti ini 2 ataupun 3 tahun yang lalu? Di hypermart yang saya pergi pun, saya perhatikan orang ramai banyak membeli pelbagai jenis sayur sahaja. Sudah amat kurang orang membeli ikan yang mahal-mahal.
“Barang makanan seperti aiskrim langsung tidak laris dijual. Pakaian pun hanya dibeli oleh masyarakat yang akan merayakan perayaan mereka. Seperti sekarang, hanya masyarakat Melayu yang membeli pakaian, orang Cina dan India tidak kelihatan pun,” kata Gopalsamy.
Beliau berkata dirinya langsung tidak percaya laporan media arus perdana bahawa ekonomi negara berada berkembang kerana pada masa kini orang ramai perlu berbelanja lebih untuk mendapat jumlah barangan yang sama.
“Minuman bijiran dan minuman ‘3 in 1’ semua telah mengalami kenaikan harga diantara RM1.50 hingga RM2. Semua barang mahal-mahal belaka.
“Makan di restoran adalah mahal. Semangkuk mihun sup biasa di kedai kopi Cina sahaja sudah mencecah RM6. Tiada lagi harga RM5,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap pilihan raya umum diadakan segera agar Pakatan Harapan (PH) dapat mengambil alih Putrajaya kerana ramai orang yang hidup dalam kesusahan dan dibebani kos sara hidup terlalu tinggi.
“Wawasan 2020 sudah gagal. Rumah mampu-milik pun tidak mampu dibeli oleh kebanyakan orang.
“Di Kepong juga ramai orang sudah menganggur dan gaji kerja lebih masa dipotong.
“Ramai orang susah membayar pinjaman bank dan kelihatan rumah yang tidak dihuni di sana sini. Situasi hari ini sangat tidak baik. Orang yang menaiki teksi saya pun merungut dan mengeluh mengenai kos sara hidup. Hidup sangat susah,” katanya dalam nada suara yang perlahan.