Amanah hari ini memberi tempoh 14 hari kepada Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria untuk memohon maaf atau beliau akan disaman kerana mengaitkan pemimpin parti itu dengan Parti Komunis Malaya (PKM).
Peguam Amanah, Mohamed Hanipa Maidin berkata, tindakan itu disebabkan Razman didakwa cuba melakukan provokasi terhadap pemimpin utama Amanah, dengan memuat naik kenyataan bersama poster yang mengaitkan pemimpin parti itu dengan PKM di Facebook.
“Saya bercadang sehari, 2 akan hantar surat kepada Razman untuk menyatakan maklum balas. Sekiranya dalam masa 14 hari tidak ada respons daripada beliau, kita akan teruskan saman dan kita akan jumpa di mahkamah.
“Kita akan mengambil tindakan saman fitnah terhadap Razman kerana kenyataan di Facebooknya melibatkan pemimpin Amanah, antaranya Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan Anuar Tahir dengan memaparkan gambar yang jelas,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Amanah hari ini.
Beberapa hari lalu, Razman memuat naik gambar mengaitkan pemimpin Amanah terbabit dengan penubuhan Rejim ke-10, iaitu sayap PKM.
Menerusi poster itu juga, Razman mendakwa DAP ialah serpihan PKM yang kini sekutu rapat Amanah.
“Berjuang dengan jelas, jangan bimbang dan play save, musuh tetap musuh,” demikian catatan Razman bersama poster yang dimuat naik ke Facebooknya. – FMT